suria

Fatah-Hamas Muktamadkan Perjanjian Baru Disember Ini

KUALA LUMPUR: Puak-puak Fatah dan Hamas yang bertelagah sejak sekian lama akan bertemu pada 18 Disember depan sebagai usaha memuktamadkan isu-isu penting ke arah perjanjian muafakat yang begitu dinantikan.

Menurut Ketua Jawatankuasa Politik Majlis Perundangan Fatah, Abdullah Abdullah, pertemuan itu akan menghimpunkan pemimpin daripada kedua-dua belah pihak bagi menyatukan perbezaan dan maju ke arah pelan perdamaian yang diusahakan Mesir.

Beliau berkata, antara agenda utama perjanjian termasuklah pembentukan sebuah negara Palestin, bekerja ke arah perpaduan nasional dan terus mendesak diterima menjadi negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersastu (PBB).

Satu lagi pertemuan susulan akan diadakan pada 22 Disember untuk turut disertai semua puak dalam Palestin. Pemulihan semula Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) juga dalam perancangan, katanya.

"Semua ini adalah langkah penting bagi kami dalam mengukuhkan perpaduan di Palestin sebagai persiapan pilihanraya tahun hadapan. Kami berkeras mahukan perkongsian kuasa.

"Strategi kami (untuk perpaduan nasional) ialah memasukkan semua dan bukan mengasingkan," katanya kepada pemberita di sini selepas menyampaikan ceramah umum bertajuk "Situasi Semasa Palestin" di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar di sini.

Ceramah hari ini adalah sempena Resolusi 181 PBB yang bersejarah pada 1964 yang membahagikan bumi Palestin kepada imigran Yahudi Eropah dengan penduduk asli Palestin. Terdahulu dalam ceramahnya Abdullah berkata Palestin akan meneruskan misinya untuk menjadi negara anggota PBB selepas ia terkurang hanya satu undi daripada sembilan undi yang diperlukan oleh jawatankuasa Majlis Keselamatan PBB.

"Ia tidak akan melemahkan semangat rakyat Palestin untuk terus berjuang supaya dapat diterima menjadi anggota PBB," tambah beliau.

Katanya, rakyat Palestin tidak akan berputus asa dalam perjuangan mereka menjadi sebuah negara Palestin bebas, walaupun ia terus berdepan dengan kekerasan, penindasan dan sekatan dari golongan Zionis.

"Sekalipun bermakna Amerika Syarikat akan menghentikan bantuan US$200 juta (RM636.3 juta) kepada pihak berkuasa Palestin, kami akan terus berjuang. Kecintaan kami terhadap kebebasan adalah lebih penting daripada menghulurkan roti untuk anak-anak kami," katanya.

Artikel Berikut

11 Maut Dalam Serangan Bom

Artikel Lain