suria

Wartawan Dedah Amalan Rasuah Media Indonesia

JAKARTA: Seorang wartawan mengaku meminta rasuah sehingga ratusan juta Rupiah untuk memainkan sesuatu isu dalam media, mengeluarkan laporan berita yang berat sebelah atau tidak tepat untuk faedah mereka yang membayarnya.

Danu Pratama (bukan nama sebenar) yang hampir tujuh tahun bekerja sebagai wartawan, memberitahu akhbar harian berbahasa Inggeris Jakarta Globe pada Jumaat, bahawa beliau biasanya bekerjasama dengan sekumpulan lima wartawan lain bagi menjadikan laporan berita yang dikeluarkan itu meyakinkan pembaca.

"Kami boleh memainkan sebarang isu dalam media, terutama politik, perundangan dan ekonomi kerana ahli politik, pegawai penguat kuasa undang-undang dan ahli perniagaan sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk menyerang pesaing mereka melalui media dan menjadikan mereka kelihatan tidak baik,” katanya seperti dipetik oleh akhbar harian itu.

Danu berkata, permintaannya untuk wang sogokan ialah dari Rp 7.5 juta (US$830) sehingga ke beratus juta rupiah, bergantung kepada kepentingan sesuatu isu itu, siapa sumber beritanya dan sama ada mereka mahu isu itu dimanupulasi di media cetak, penyiaran atau atas talian - atau kesemuanya.

"Saya tidak pernah memainkan sesuatu isu secara bersendirian, kerana ia menjadi ketara.

"Saya biasanya bekerja dengan sekumpulan lima wartawan lain, di mana saya bertindak sebagai penyelaras dan membuat perjanjian dengan sumber. Saya boleh katakan bahawa walaupun media yang dikatakan bersih mempunyai wartawan yang mengambil bahagian dalam amalan ”mafia” ini,” katanya.

Tokoh-tokoh kanan media berkata, ”budaya terikat dengan janji” adalah perkara biasa di Indonesia, yang didorong oleh pendirian liberal terhadap sogokan dan kebanyakan mereka daripada kumpulan media yang memperoleh gaji yang rendah.

"Institusi kerajaan dan syarikat biasanya menyediakan sebahagian daripada bajet mereka untuk tabung pembangunan media yang menyediakan wartawan dengan apa yang dikatakan duit pengangkutan,” kata Nezar Patria, pengerusi Alliance of Independent Journalists (AJI).

"Mereka mengekalkan satu senarai wartawan untuk membuat liputan mengenai mereka... biasanya mereka memberikan dari Rp 250,000 hingga Rp 1 juta seorang.

Malangnya, duit ini biasanya diterima oleh wartawan yang bekerja untuk media yang kurang boleh dipercayai dan tidak memberi gaji yang baik,” katanya.

Nezar berkata, AJI dan Press Council sejak 15 tahun lepas telah berkempen menentang amalan wartawan mengambil rasuah.

"Seorang wartawan mesti hanya menyampaikan perkara yang betul kerana masyarakat mempunyai hak untuk mengetahui perkara yang sebenarnya,” katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain