suria

Banjir Di Barat Bangkok Dijangka Berlarutan Sebulan Lagi

BANGKOK: Banjir yang melanda barat Bangkok dijangka berlarutan sebulan lagi, manakala dua kawasan perindustrian di ibu negara Thailand ini masih dikelilingi air.

Menteri Sains dan Teknologi Plodprasob Surassawaee, yang juga Pengarah Pusat Operasi Bantuan Banjir (FROC), berkata pada Jumaat beliau menjangka seluruh kawasan barat Bangkok akan dinaiki air, termasuk Rama II Road, lebuh raya utama yang menghubungkan bandar raya ini dengan wilayah selatan Thailand.

Kerja mengalirkan kira-kira tiga bilion meter padu air larian banjir di barat Bangkok menghadapi masalah berikutan keadaan terusan yang sempit dan tersekat, katanya.

Beliau berkata pada keseluruhannya, keadaan banjir di timur Bangkok mengalami sedikit perubahan apabila semakin banyak air larian banjir telah mengalir ke Telok Siam.

Bagaimanapun, 93 kilang di Kawasan Perindustrian Bang Chan di timur Bangkok telah dinasihati memindahkan mesin masing-masing ke tempat lebih tinggi kerana paras air di sebuah terusan berhampirannya semakin naik.

Kawasan Perindustrian Lat Krabang di timur Bangkok juga diletakkan dalam keadaan penuh berjaga-jaga apabila paras air banjir di sekelilingnya semakin naik.

Tentera dikerah memperkukuhkan benteng banjir di dua kawasan perindustrian itu untuk mengelaknya daripada dilanda bah setelah tujuh kawasan perindustrian di Ayutthaya dan Phatum Thani ditenggelami air.

Pada keseluruhannya, pusat bandar raya ini masih selamat daripada banjir walaupun daerah yang bersempadan dengannya telah dinaiki air.

Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini beroperasi seperti biasa, begitu juga perkhidmatan tren di ibu negara Thailand ini.

Di wilayah Ayutthaya dan Nakhon Sawan, banjir telah surut dan kerja perbersihan sedang giat dijalankan.

Kira-kira sepertiga daripada negara ini masih ditenggelami air dan menjejaskan kehidupan hampir tiga juta penduduk dari 24 wilayah di bahagian utara dan tengah Thailand akibat banjir terburuk dalam lima dekad yang melanda negara ini sejak 25 Julai.

Jumlah kematian setakat semalam ialah 533. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain