suria

APEC Perlu Sedia Pelan Tindakan Untuk Hapuskan Halangan Bukan Tarif

HONOLULU (Amerika Syarikat): Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mesti menyediakan pelan tindakan bagi menghapuskan halangan bukan tarif (NTB) sebelum ia benar-benar boleh dianggap sebagai rantau yang mengamalkan perdagangan bebas dan terbuka.

"Negara anggota perlu mengelak daripada memperkenal NTB baharu memandangkan ia boleh menjejaskan kesan positif ke atas pengurangan tarif dan membebankan negara dengan kos yang lebih tinggi," kata Pengerusi Ambank Group of Companies Tan Sri Azman Hashim pada Khamis.

"Kami yakin langkah-langkah perlindungan wajar dihapuskan," kata Azman yang juga Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja Usahawan dan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana dalam Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

Dalam laporan bertulis kepada Bernama, Azman menyuarakan kekecewaannya terhadap tindakan perlindungan yang dilaksanakan akibat ancaman keselamatan, keganasan, kesihatan dan ancaman terhadap kestabilan sistem kewangan, telah meningkatkan kos untuk menjalankan perniagaan.

Walaupun tarif semakin kecil susulan komitmen Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), wujud trend yang semakin meningkat terhadap halangan bukan tarif seperti langkah-langkah sanitari dan pithosanitari atau SPS, standard, langkah keselamatan, prosedur kastam dan standard alam sekitar.

Selain itu, krisis kewangan pada 1997 dan 2008, serangan ganas 11 September dan ancaman baharu kesihatan seperti SARS (Sindrom Penafasan Akut Yang Teruk), virus H1N1 dan Avian flu, turut menjejaskan teruk APEC dan persekitaran operasinya.

Ini kata Azman menjejaskan kemajuan dalam memenuhi Matlamat Bogor dalam merealisasikan perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka di rantau Asia Pasifik menjelang 2010 untuk ekonomi maju dan 2020 bagi negara membangun.

Mesyuarat pemimpin APEC yang dihoskan oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama Ahad ini (13 Nov) pada sidang kemuncak tahunannya dan mereka dijangka membincangkan, antara lain, menghapuskan halangan terhadap perdagangan dan mencegah halangan baharu.

Mereka juga akan membincangkan mengenai usaha menangani halangan terhadap perdagangan barangan dan menggalakkan pembangunan, pelaburan dan perdagangan dalam tenaga boleh baharu dan teknologi bersih.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka tiba di sini pada Jumaat untuk menyertai para pemimpin serantau yang lain dalam mengukuhkan penyepaduan ekonomi serantau dan meluaskan perdagangan, selain memprommosikan pertumbuhan hijau.

APEC bagaimanapun bukan forum yang mengikat, dengan inisiatif perdagangan bebas adalah berasaskan prinsip sukarela, konsensus dan terbuka.

Ini bermakna tekanan rakan anggota merupakan kuasa pemacu utama dalam mencapai keputusan dalam APEC berbanding sebarang komitmen untuk mengurangkan tarif perdagangan.

Azman berkata sejak serangan ganas 11 September ke atas Amerika Syarikat, pelbagai langkah dan peraturan tambahan dikenakan dan menyebabkan wujud bebanan tambahan ke atas syarikat pengangkutan, kerajaan, pelabuhan, operator lapangan terbang dan syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik.

Langkah-langkah ini, selain teknologi baharu yang dipacu teknologi dan prosedur, meningkatkan kos transaksi dan membebankan perniagaan, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana.

"Kerajaan-kerajaan wajar memberi tumpuan ke atas usaha untuk mengimbangi antara memastikan keselamatan transit barangan dan perkhidmatan, dan memastikan perniagaan tidak terjejas dalam menyumber barangan dan perkhidmatan daripada sumber-sumber komersil yang paling menarik," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain