suria

Banjir: Kerajaan Thailand Tidak Isytihar Darurat

BANGKOK: Kerajaan Thailand tidak akan mengisytiharkan perintah darurat meskipun negara Gajah Putih ini sedang menghadapi banjir besar, yang terburuk dalam dua dekad ini, kata Menteri Kehakiman Jen Pol Pracha Promnok pada Selasa.

Pracha, yang juga Pengarah Pusat Kawalan Banjir, berkata tiada keperluan untuk kerajaan berbuat demikian sebagaimana dicadangkan pembangkang kerana kerajaan boleh menguruskan keadaan itu.

Kabinet membuat keputusan itu dalam mesyuarat mingguannya, yang kali ini diadakan di Lapangan Terbang Don Mueang, di sini, yang bakal dijadikan Pusat Operasi Bantuan Banjir, katanya selepas menghadiri mesyuarat Kabinet.

Menteri Pelancongan dan Sukan Chumpol Silpa-archa berkata Kabinet memutuskan untuk tidak mengisytiharkan perintah darurat kerana tidak mahu menimbulkan suasana panik di kalangan pelancong asing.

Beliau berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi mencatatkan ketibaan kira-kira 40,000 pelancong pada setiap hari pada masa ini meskipun banjir sedang melanda Thailand.

Ketua Pembangkang Abhisit Vejjajiva, yang juga bekas perdana menteri, telah mencadangkan satu perintah darurat diisytiharkan di beberapa kawasan dilanda banjir bagi memudahkan pengurusan banjir dan pemindahan.

Meskipun bandar raya Bangkok kini menghadapi limpahan air banjir dari wilayah utara dan tengah negara, Praca memberi jaminan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi tidak akan terjejas kerana ia terletak di kawasan lebih tinggi.

Beliau berkata tiga daerah sekitarnya - Minburi, Nongjok dan Ladkrabang - mungkin ditenggelami banjir tetapi tidak lapangan terbang itu.

Keadaan banjir di Thailand kekal kritikal hari ini memandangkan 40 peratus daripada negara ini masih ditenggelami air dengan 269 jumlah kematian dilaporkan manakala bank pusat negara itu menganggarkan kerugian mencecah 60 bilion Baht (kira-kira RM6 bilion).

Sejumlah 2.3 juta orang daripada lebih 10,000 kampung di 30 wilayah di utara dan tengah negara itu terjejas teruk akibat banjir besar yang melanda negara ini secara berperingkat sejak Julai lepas, dan mencapai tahap kritikal baru-baru ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain