suria

Pencari Suaka Bakal Dihantar Ke Malaysia Ditawar Geran Pulang Ke Negara Asal

MELBOURNE: Kerajaan Australia menawarkan kepada pencari suaka yang bakal dihantar ke Malaysia, geran sehingga A$4000 (kira-kira RM12,725) untuk pulang ke negara asal mereka.

Kerajaan telah menyerahkan geran itu kepada 77 pencari suaka sejak program "bantuan integrasi semula" diperkenalkan pada November, The Daily Telegraph di Sydney melaporkan pada Selasa.

Program itu menawarkan pencari suaka yang gagal mendapatkan suaka, wang tunai dan pembayaran lain untuk pulang ke negara asal dan ratusan dijangka menerima pakej kewangan bagi tahun ini selepas kerajaan memperuntukkan bajet A$7 juta (kira-kira RM22.2) juta bagi program itu.

Sementara majoriti geran itu akan diambil oleh pencari suaka yang sedang ditahan yang tidak diberikan visa perlindungan, Jabatan Imigresen Australia mengesahkan mereka yang tiba di bawah program Penyelesaian Malaysia juga boleh mengambil tawaran itu.

"Ia menggalakkan untuk pulang secara sukarela, yang menyaksikan penjimatan kos signifikan kepada kerajaan berbanding perpindahan secara paksa," jurucakap jabatan bagi pihak Menteri Imigresen Chris Bowen dipetik sebagai berkata.

Sekiranya mereka menerima pakej itu, yang termasuk bantuan modal perniagaan sehingga A$550 secara tunai, mereka tidak akan dikira dalam kumpulan "sehingga 800" pencari suaka dalam perjanjian antara kerajaan Australia dan Malaysia yang sedang dicabar di Mahkamah Tinggi.

Keputusan mahkamah bakal diketahui Rabu ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain