suria

Lelaki Terbuang Barang Kemas Bernilai Ratusan Ribu Ringgit

BRISBANE: Seorang lelaki meminta majlis perbandaran untuk menggeledah timbunan sampah sarap pada Selasa selepas dia secara tidak sengaja membuang barang kemas isterinya yang bernilai RM158,125.

Lelaki tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Geoff berkata barang kemas yang tidak diinsuranskan itu dibungkus ke dalam beg plastik untuk mengelak daripada dicuri namun ia tidak sengaja dibuang ke dalam tong sampah di luar rumahnya pada minggu lepas semasa dia dan isteri mengemas rumah.

"Kami mahu berpindah rumah dan saya menyuruh anak-anak memberikan saya mana-mana sampah dalam rumah untuk dibuang," katanya kepada akhbar Brisbane Courier-Mail.

"Isteri saya menelefon saya di pejabat dan bertanyakan di manakah beg tersebut," katanya,

Koleksi barang kemas yang hilang itu termasuklah gelang dan bongkah emas tulen.

Jurucakap Sunshine Coast Regional Council, Gary Reeve memberitahu pemberita bahawa kemungkinan mereka menjumpai semula barangan kemas tersebut adalah sangat tipis kerana mereka menerima beribu-ribu tan sampah setiap minggu.

Geoff berkata isterinya dapat menerima kejadian yang telah berlaku namun rakan-rakannya sering menelefonnya dan memberitahu tentang harga emas yang sedang meningkat kepadanya. -AFP

Artikel Lain