suria

Taufan Irene: Rakyat Malaysia Di New York Diminta Berpindah

NEW YORK: Pelajar Malaysia dan petugas di Perwakilan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah berpindah dari kediaman mereka pada Sabtu petang ketika Taufan Irene mula melanda bandar raya ini.

Antara mereka ialah Loh Teck Siong, Penasihat Kedutaan dan Ketua Canseri bagi Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB dan keluarganya, yang berkata beliau, isteri dan anak lelaki berusia 13 tahun berpindah ke pejabat perwakilan itu sejak 3 petang Sabtu.

Turut bersama mereka di pejabat perwakilan itu ialah wakil Kementerian Pertahanan Wan Nazarudin Wan Ngah, isteri dan tiga anak masing-masing berusia 6, 9 dan 11 tahun.

Kata beliau, mereka tinggal di 10 Waterside Plaza di 23rd Street di Manhattan yang mengadap East River iaitu Zon A untuk perpindahan.

Sementara itu di New Jersey, 20 pelajar Malaysia termasuk empat wanita, yang kini di tahun akhir dalam bidang kejuruteraan di Stevens Institute of Technology di Hoboken, turut diminta supaya berpindah sejak Jumaat.

Pelajar terbabit yang tinggal di luar institut itu kini menyertai rakan mereka dari Malaysia yang mendiami di kawasan kampus, kata Farhan Hassan, 23, pelajar tahun akhir kejuruteraan kimia.

Hoboken terletak di tebing barat Hudson River.

Pusat Taufan Irene dijangka tiba di New York antara 3 pagi dan 7 pagi waktu tempatan (3 petang dan 7 malam waktu Malaysia) pada Ahad.

Terdapat lebih 1,000 rakyat Malaysia yang tinggal di New York.

Bandar raya ini kini sunyi sepi apabila semua penduduk berada di dalam rumah demi keselamatan diri, manakala semua kedai dan pengangkutan awam ditutup, termasuk lapangan terbang. BERNAMA

Artikel Lain