suria

Warga Malaysia Meriahkan Sambutan Aidilfitri Di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta

JAKARTA: Warga Malaysia yang beragama Islam di Indonesia pada Rabu menyertai umat Islam republik ini untuk menyambut Aidilfitri yang kebetulan bersamaan dengan tarikh ulangtahun ke-54 Kemerdekaan Malaysia.

Sebagai tanda perpaduan, sebilangan rakyat Malaysia di sini berkumpul di Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan untuk bersama-sama merayakan hari kebesaran Islam itu dalam suasana kemesraan dan semangat 1Malaysia.

Berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini, kali ini negara jiran yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia ini, menyambut Aidilfitri sehari lebih lewat daripada Malaysia.

Acara sambutan di Kedutaan Besar dimulai dengan solat Aidilftri di ruangan foyer bagi menempatkan bilangan jemaah yang lebih ramai. Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan dan isterinya Datin Sharifah Ikhlas Syed Ismail AlJaffree hadir bersama petugas kedutaan, serta warga Malaysia di sini, termasuk pelajar, untuk menunaikan ibadat solat sunat hari raya puasa itu.

Mereka berdua kemudian meraikan para tetamu berbilang kaum pada acara jamuan hari raya di Dewan Serbaguna kedutaan besar, yang menyajikan juadah makanan tradisional Malaysia seperti ketupat, lemang dan rendang serta kuih-muih.

Seperti kelaziman di Malaysia, kanak-kanak tidak ketinggalan akan mendapat rezeki "duit raya" yang diagih-agihkan di acara itu.

Di peringkat Kerajaan Indonesia, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Ibu Ani Yudhoyono pagi menyertai umat Islam di negara ini dalam solat Aildilfitri di Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara.

Mereka kemudian mengadakan acara rumah terbuka di Istana Negara, Jakarta Pusat, yang dibahagikan kepada dua peringkat iaitu untuk orang kenamaan pada sebelah pagi dan untuk rakyat jelata pada sebelah petang.

Sambutan Aidilfitri oleh umat Islam di Indonesia turut diwarnai dan dimeriahkan dengan amalan rumah terbuka dan kunjung mengunjung di kalangan kaum keluarga serta sahabat handai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain