suria

Yingluck Janji Tidak Balas Dendam

BANGKOK: Yingluck Shinawatra dalam ucapan pertama negara selepas menerima perintah diraja untuk menjadi Perdana Menteri yang ke-28 pada Selasa berjanji pentadbirannya tidak akan membalas dendam.

Perdana Menteri wanita pertama Thailand itu berkata membalas dendam hanya akan menimbulkan lebih banyak komplikasi dan menjejaskan usaha membawa negara maju ke hadapan.

Beliau juga memastikan pentadbirannya tidak akan memberi layanan utama kepada sebarang kumpulan tertentu.

"Sebaliknya, saya mahu bekerja ke arah penyatuan negara, mengakhiri kesengsaraan semasa, mengembalikan senyuman di kalangan rakyat Thai dan memakmurkan negara," katanya.

Yingluck dari parti Pheu Thai menang pilihan raya umum 3 Julai lalu dan Jumaat lepas menang tanpa tentangan sebagai Perdana Menteri semasa proses pengundian di Parlimen.

Beliau menerima perintah diraja daripada Setiausaha Agung Parlimen, Pitoon Phumhiran di ibu pejabat partinya di sini.

Yingluck berkata beliau merasa berada dalam keadaan istimewa untuk mengembalikan negaranya kepada rakyat.

"Oleh sebab itu, saya akan memastikan saya tidak memberi keutamaan kepaada mana-mana kumpulan tertentu," katanya.

Beliau juga sedar sebagai Perdana Menteri wanita dalam keadaan semasa merupakan satu cabaran bagi memenuhi harapan besar rakyat.

"Saya bersedia untuk memenuhi harapan ini dan saya pasti gender saya tidak akan menjadi halangan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain