suria

ICRC Pertingkat Operasi Kecemasan Di Somalia Yang Dilanda Krisis Kebuluran

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mempertingkatkan operasi kecemasannya di bahagian tengah dan selatan Somalia bagi membantu 1.1 juta penduduk yang terjejas akibat banjir dan konflik.

Presiden ICRC Jakob Kellenberger berkata langkah itu susulan keadaan yang semakin mendesak bagi ratusan ribu penduduk Somalia yang diancam kekurangan makanan dan bekalan air.

Keadaan itu adalah hasil konflik bersenjatasejak 20 tahun lepas yang diburukkan lagi dengan kemarau teruk selain kadar inflasi yang tinggi serta kenaikan harga makanan dan minyak seluruh dunia sejak awal tahun ini, katanya dalam kenyataan yang dipapar pada laman web ICRC.

"Di bahagian tengah dan selatan negara ini khususnya, yang mana hanya sebilangan kecil organisasi kemanusiaan beroperasi, bantuan amat diperlukan," kata Kellenberger.

Beliau menegaskan sekalipun sukar untuk beroperasi di salah sebuah negara yang paling diancam konflik di dunia itu, ICRC tidak boleh menghampakan rakyatnya dan yakin pertubuhan tersebut mampu memberi bantuan dengan jayanya menerusi kerjasama Palang Merah Somalia.

ICRC juga sedang memohon sumbangan berjumlah 67 juta Swiss francs (kira-kira RM256 juta) sebagai dana tambahan, menjadikan bajet keseluruhan 2011 untuk Somalia meningkat kepada lebih 120 juta francs (kira-kira RM460 juta).

Ini bagi membolehkan organisasi itu memperluaskan program pemakanan terapeutik dan agihan makanan untuk membantu masyarakat menghadapi tempoh sukar sehingga musim menuai akan datang pada Disember.

Kira-kira 49,000 kanak-kanak yang menghadapi malnutrisi dan 24,000 wanita mengandung dan yang menyusukan anak akan mendapat manfaat daripada kedua-dua program tersebut.

ICRC juga membantu daripada segi memastikan penduduk negara itu berupaya meneruskan kehidupan tanpa bantuan luar, antaranya menerusi pembinaan telaga, sistem pengairan dan projek infrastruktur bagi membantu petani menghadapi cuaca melampau.

Dalam perkembangan lain, Bank Pembangunan Islam (IDB) mengumumkan telah meluluskan bantuan segera berjumlah US$1 juta (RM3 juta) untuk mangsa kebuluran Somalia. Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Lembaga Pengarah Eksekutif IDB di Jeddah, Arab Saudi, pada Rabu.

Bantuan itu adalah sebahagian daripada US$494.73 juta (RM1.48 bilion) yang diluluskan lembaga bagi membiayai projek baru negara anggota dan komuniti Islam di seluruh dunia, kata IDB dalam satu kenyataan pada laman webnya.

IDB dianggotai 56 negara termasuk Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain