suria

Putera Mahkota Thai Tawar Wangnya Sendiri Untuk Selesaikan Pertikaian Perniagaan Antara Negaranya Dengan Firma Jerman

BANGKOK: Putera Mahkota Thailand, telah menawarkan wangnya sendiri untuk menyelesaikan pertikaian perniagaan di antara negaranya dengan sebuah firma Jerman yang membawa kepada penahanan pesawat peribadinya daripada berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Munich.

Pesawat Boeing 737 Putera Maha Vajiralongkorn telah ditahan di lapangan terbang tersebut pada 12 Julai lalu selepas sebuah firma pembinaan Jerman membuat permohonan di Jabatan Insolvensi agar pihak berkuasa negara itu menahan pesawat berkenaan sehinggalah Kerajaan Thailand membayar 30 juta euro (AS$42 juta) yang dikatakan masih belum dibayar kepada firma pembinaan Walter Bau yang terlibat membina lebuh raya Bangkok-Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang.

Walter Bau terlibat dengan pertikaian itu apabila ia bergabung dengan firma DYWIDAG pada tahun 2001. DYWIDAG adalah firma asal yang memperolehi kontrak pembinaan lebuh raya itu.

Minggu lalu, sebuah mahkamah di Jerman telah mengarahkan agar pesawat tersebut dibenarkan berlepas hanya selepas firma berkenaan menerima wang jaminan berjumlah 20 juta euro daripada Kerajaan Thailand.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas Kerajaan Thailand mengesahkan bahawa pesawat berkenaan adalah milik peribadi Putera Mahkota tersebut dan bukannya milik kerajaan.

Bagaimanapun satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Putera Mahkota itu menyatakan, untuk mengelakkan masalah ini daripada berlanjutan, baginda telah menawarkan wang peribadinya sendiri untuk menyelesaikan isu tersebut.

"Walaupun Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn tidak ada kaitan langsung dalam pertikaian itu tetapi isu tersebut kini telah membabitkannya apabila pesawat miliknya ditahan pihak berkuasa lapangan terbang Jerman," jelas kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan berapakah jumlah yang sedia dibayar oleh putera berkenaan.

Menteri Luar Thailand, Kasit Piromya telah berlepas ke Berlin untuk berbincang mengenai isu yang memalukan ini dengan menyatakan bahawa penahanan tersebut adalah satu kesilapan yang besar.

Namun begitu pihak berkuasa Jerman menegaskan bahawa isu ini hanya boleh diselesaikan menerusi keputusan mahkamah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain