suria

Anifah Ziarah Pelajar Malaysia Di Hospital Melbourne

MELBOURNE: Seorang penuntut Malaysia yang cedera akibat kemalangan jalan raya pada 14 Julai, terkejut bercampur gembira hari ini apabila dia dikunjungi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman di sebuah hospital di sini Ahad.

Wan Hafizu Nazrin Wan Lofti bersama tujuh penuntut Malaysia lain cedera apabila van yang mereka naiki hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersiar-siar untuk melihat penguin di Phillip Island dekat sini.

Anifah, yang bercuti bersama keluarganya di sini, meluangkan masa melawat Wan Hafizu -- satu-satunya pelajar terbabit yang masih menerima rawatan di hospital.

Menteri berkenaan, yang diiringi Konsul Besar baru Malaysia ke sini Dr Mohd Rameez Yahaya, meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama pelajar itu serta ibunya Sabariah Mat Asan, yang tiba di sini tidak lama selepas anaknya mengalami kemalangan.

Sabariah menyatakan kepada Dr Mohd Rameez bahawa dia dan anaknya terkejut dan terharu dengan kunjungan Anifah itu.

"Kami sungguh gembira. Tak sangka menteri sudi mengunjungi kami dan memberi kata-kata semangat kepada anak saya serta mendoakan agar dia lekas sembuh," kata wanita itu.

Anifah dijangka mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan para pelajar Malaysia di Dewan Malaysia pada Isnin malam. - BERNAMA

Artikel Lain