suria

Tegang Di Bandar Kashgar, China

KASHGAR: Ketegangan kini semakin memuncak di bandar ini pada Selasa selepas pihak polis dilaporkan menembak mati dua orang awam dari etnik Uighur yang disyaki sebagai pencetus kekacauan.

Etnik Uighur yang majoritinya beragama Islam membentuk separuh daripada jumlah penduduk di wilayah Xinjiang di perbatasan barat negeri China.

Kematian dua lelaki Uighur itu menjadikan jumlah kematian akibat kekacauan dan pertempuran etnik di wilayah itu kepada 21 orang.

Kashgar, adalah bandar purba yang lebih dikenali sebagai jalan sutera di Xinjiang.

Pihak berkuasa China mengesahkan 13 daripada mangsa yang terbunuh itu adalah orang awam manakala bakinya dikenalpasti sebagai 'pengganas' yang menurut China mendapat latihan ketenteraan di Pakistan.

Kerajaan Wilayah Xinjiang telah berikrar akan mematahkan sebarang percubaan pengganas untuk mencetus kekacauan.

Pada Selasa, sebahagian besar aktiviti harian di bandar ini masih lagi ditutup dan anggota-anggota polis kelihatan ditempatkan di beberapa tempat kawasan strategik dalam bandar.

Xinjiang adalah negeri asal 9 juta etnik Uighurs yang berbahasa Turkik dan tidak gembira dengan dominasi etnik Han yang merupakan golongan majoriti di China.

Masyarakat Uighurs mendakwa mereka ditindas dari sudut ekonomi dan peluang oleh etnik Han dan ketidakadilan sosial ini telah mencetuskan ketegangan antara kaum di wilayah itu sekarang.

Wilayah Xinjiang bersempadan dengan lapan negara termasuk Afghanistan dan Pakistan.

Pada Julai 2009, China dilanda ketegangan kaum yang paling buruk dalam sejarah modennya apabila etnik Uighurs menyerang dan menjarah harta dan kepentingan etnik Han di Urumqi, iaitu ibu kota Xinjiang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain