suria

Yingluck: Tiada Jawatan Untuk Thaksin

BANGKOK: Bakal Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra pada Rabu menafikan spekulasi mengatakan abangnya, Thaksin Shinawatra bakal diberikan jawatan rasmi di bawah kepimpinanya.

Yingluck yang mengetuai kempen pilihan raya parti pembangkang, Puea Thai mendapat kejayaan dalam pilihan raya yang diadakan pada Ahad lalu membentuk kerajaan campuran daripada lima buah parti.

Namun beliau menafikan laporan media yang menyatakan bahawa Thaksin berkemungkinan besar akan dilantik sebagai utusan khas kerajaan untuk mempromosikan perdangangan eksport Thailand di luar negara.

Thaksin hidup dalam pelarian di Dubai untuk melepaskan diri dari hukuman penjara sejak digulingkan pada tahun 2006 dalam satu pemberontakan.

"Spekulasi tersebut tidak benar, tiada jawatan sebegitu akan dibentuk," beritahu Yingluck kepada pemberita ketika tiba di satu mesyuarat bersama beberapa penasihat ekonomi di Bangkok.

"Tiada jawatan untuk Thaksin. Beliau hanya memberi sokongan moral dan nasihat," katanya.

"Beliau berada dalam keadaan baik di luar negara dan tidak menjangkakan akan mendapat sebarang jawatan politik. Thaksin cuma mahu melihat pendamaian dilakukan di seluruh negara."

Kepulangan Thaksin akan mengakibatkan kemarahan pembangkangnya dalam tentera elit di Bangkok, Istana dan birokrasi malah boleh menyebabkan berlakunya kekacauan selepas protes yang bertahun-tahun lamanya dilakukan untuk menggulingnya.

Selepas kemenangan saudara perempuannya, Thaksin menyatakan beliau tidak berhasrat untuk pulang berpolitik dan menjejakkan kaki di Thailand bukanlah keutamaanya.

Namun beliau sebelum ini menyatakan hasratnya untuk kembali ke Thailand bagi menghadiri perkahwinan anak perempuannya pada Disember.

Yingluck yang belum dilantik secara rasmi oleh parlimen baru telah membentuk pakatan yang terdiri daripada lima buah parti yang akan menguasai majoriti kerusi Dewan Rakyat tetapi barisan kabinet baru masih belum diumumkan.

"Tiada seorangpun ahli kabinet dinamakan dan hari ini saya mahu menumpukan perhatian ke atas polisi dan bagaimana mahu melaksanakan dasar kempen kami," katanya. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Lain