suria

Lawatan Rasmi PM Britain Ke Afghan Terganggu Oleh Kematian Seorang Askar British

CAMP BASTION (Afghanistan): Perdana Menteri British, David Cameron terpaksa menyusun semula jadual lawatannya di sini selepas seorang askar British yang hilang ditemui mati dengan kesan tembakan.

Kematian misteri askar tersebut di wilayah Helmand telah menjejaskan program lawatan Cameron setelah beliau memberi jaminan bahawa langkah keselamatan di negara itu telah dipertingkatkan yang sekaligus menyaksikan langkah pengunduran tentera Britain dapat dilakukan dengan segera.

Cameron tiba di Helmand pada Isnin pagi.

Askar British itu dilaporkan hilang daripada sebuah checkpoint di Helmand pada awal pagi Isnin.

Kementerian Pertahanan Britain kemudian mengumumkan bahawa mayat askar tersebut akhirnya ditemui dengan kesan tembakan.

Ekoran daripada kejadian yang tidak diduga itu, Cameron telah mengadakan pertemuan dengan Gabenor Wilayah Helmand, Gulab Mangal di Camp Bastion - iaitu markas utama tentera British dan Amerika.

Cameron dilaporkan berkata akan membuat pengumuman di parlimen berhubung masa depan perkhidmatan tentera British di Afghanistan pada Rabu ini.

Presiden Amerika, Barack Obama telah pun mengumumkan penarikan balik 33,000 tentera dari Afghanistan menjelang penghujung 2012, yang akan menyaksikan jumlah anggota tentera negara itu kepada hanya 65,000 orang sahaja.

Selain Amerika, Perancis dan Belgium juga turut mengumumkan penarikan balik bala tentera mereka sementara tentera Kanada yang berjumlah 3,000 orang dijangka berundur menjelang akhir minggu ini.

Perdana Menteri Australia, Prime Minister Julia Gillard juga telah memberi indikasi pada Selasa bahawa mereka juga sedang menimbang untuk melihat bagaimana langkah-langkah keselamatan dapat dipertingkatkan di Afghanistan walaupun seorang lagi anggota tentera negara itu terkorban dalam pertempuran semalam.

Australia mempunyai sekitar 1,500 anggota tentera di Afghanistan dan Gillard berkata, pasukan negaranya akan memenuhi janji untuk terus kekal di Afghanistan sehingga 2014.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain