suria

Dunia Memperingati Insiden Chernobyl

KIEV: Dunia pada Selasa memperingati tragedi kebocoran logi nuklear Chernobyl di Ukraine, yang disifatkan sebagai malapetak nuklear terburuk dalam sejarah peradaban manusia.

Memperingati tragedi itu yang berlaku pada 26 April 1986, menjadi lebih dekat di hati manusia selepas seluruh dunia menyaksikan satu lagi insiden yang menakutkan berlaku di Loji Tenaga Nuklear Fukushima Daiichi Jepun akibat gempa bumi pada 11 Mac lalu.

Tetapi berbeza di Jepun, yang mana kebocoran berlaku akibat bencana alam, di Chernobyl, insiden itu terjadi akibat kecuaian manusia dan kecacatan rekabentuk yang menyaksikan salah satu reaktornya meletup dan terbakar ketika sedang menjalani ujian.

Radioaktif yang berterbangan ke udara akibat kebakaran dan letupan itu telah tersebar sehingga ke negara jiran Belarus serta Rusia dan beberapa negara Eropah Timur yang lain.

Yang lebih memburukkan keadaan ialah, apabila kejadian itu berlaku, pihak berkuasa iaitu Kesatuan Soviet lama cuba menyembunyikan tragedi itu daripada pengetahuan umum dan masyarakat antarabangsa.

Moscow telah menyembunyikan insiden itu daripada pengetahuan dunia selama tiga hari dan hanya mengakui akan kebocoran tersebut selepas Pusat Nuklear Forsmark di Sweden mengesan sinaran radiasi yang luar biasa.

Dua orang pekerja telah terbunuh serta merta akibat letupan di loji tersebut manakala 28 lagi - yang kebanyakkannya staf dan pasukan penyelamat telah terkorban dalam tempoh sebulan selepas tragedi itu akibat terdedah kepada radiasi.

Dalam tempoh setahun sejak kemalangan itu, Kerajaan Soviet telah menghantar lebih setengah juta pekerja penyelamat untuk membersihkan loji berkenaan dan mengawal radioaktif dari merebak.

Kata Presiden Rusia, Dimitry Medvedev, "Saya berpendapat, dalam era moden sekarang, adalah perlu untuk semua pihak menyatakan yang benar dan memaklumkan kepada dunia apa yang telah berlaku, mengambil kira pengalaman masa silam di Chernobyl dan yang terbaru di Jepun."

"Dunia ini sangat rapuh dan kita semua saling berhubungan dan sebarang percubaan untuk menyembunyikan apa jua maklumat mengenai kejadian seperti ini hanya akan berakhir dengan tragedi dan kehilangan nyawa yang lebih ramai,” ujar presiden Rusia itu lagi.

Di sebalik peristiwa hitam yang terjadi di Chernobyl, kontroversi berhubung kematian sebenar akibat hubungan secara langsung dengan tragedi itu masih menjadi perdebatan dan pertikaian walaupun di kalangan agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sendiri.

Sebahagin besar pakar merumuskan, legasi kesan sampingan kesihatan akibat Chernobyl sebenarnya lebih menjurus kepada isu mental daripada fizikal.

Pada 2005, beberapa agensi PBB yang berkaitan dengan nuklear termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, pada keseluruhannya 4,000 mangsa mungkin boleh menemui ajal akibat daripada pendedahan radiasi ini sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Bagaimanapun Jawatankuasa Saintifik PBB Mengenai Radiasi Atomik (UNSCEAR) melaporkan, selain daripada 30 kematian yang disahkan akibat daripada letupan loji nuklear Chernobyl itu, hanya 19 pesakit ARS (Acute Radiation Syndrome) meninggal dunia menjelang 2006.

Mereka juga dapati, selain dari 6,000 kes kanser tiroid (yang boleh dirawat) akibat daripada susu yang tercemar - rupa-rupanya tidak ada bukti yang jelas akan lain-lain jangkitan kanser ke atas populasi umum daripada radiasi.

Bagaimanapun, pertubuhan alam sekitar seperti Greenpeace pada 2006 menuduh agensi PBB itu terlalu memandang remeh akan kesan-kesan sampingan sinaran radiasi ke atas kehidupan manusia dengan mengatakan, pada andaian mereka sekurang-kurangnya 93,000 orang terdedah kepada kanser yang membawa maut disebabkan oleh kebocoran loji Chernobyl.

Chernobyl terus beroperasi menghasilkan tenaga elektrik kepada Kesatuan Soviet sehinggalah kesatuan itu dibubarkan. Reaktor nombor duanya telah ditutup selepas satu kebakaran pada tahun 1991 manakala reaktor nombor satu pula ditutup pada 1997 tetapi reaktor nombor tiga terus menghasilkan elektrik sehingga ke bulan Disember 2000.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain