KABUL: Lebih kurang 500 banduan Taliban berjaya meloloskan diri dari sebuah penjara di Kandahar, Selatan Afghanistan menggunakan terowong bawah tanah yang dikorek dengan bantuan kumpulan militan dari luar penjara.
Puak Taliban dengan segera mengeluarkan kenyataan bahawa mereka bertanggungjawab ke atas operasi sulit yang menggunakan laluan terowong bawah tanah yang menyambungkan penjara tersebut dari kawasan pergunungan di luar.
Kandahar memang dikenali sebagai kubu operasi Taliban terbesar di Afghanistan.
Ini adalah kejadian melarikan diri yang kedua dalam tempoh tiga tahun di penjara berkenaan.
"Keseluruhannya 476 tahanan politik telah melarikan diri menggunakan laluan terowong bawah tanah yang dikorek oleh puak Taliban," kata Pengarah Penjara, Jeneral Ghulam Dastageer Mayar, Isnin.
Adalah difahamkan, terowong sepanjang 360 meter itu mula digali lima bulan lalu tanpa disedari oleh pihak berkuasa penjara.
"Mereka mula keluar menggunakan laluan bawah tanah itu pada jam 11 malam Ahad dan berakhir hingga ke Subuh," kata seorang komander Taliban Ahmadi sambil mendakwa keseluruhannya 541 orang tahanan berjaya melarikan diri.
Pada tahun 2008, lebih kurang 1,000 tahanan - kebanyakkan anggota puak Taliban berjaya melarikan diri dari penjara yang sama selepas sebuah trak yang sarat dengan bahan letupan meletup dengan merempuh pintu utama penjara berkenaan.
Kejadian terbaru ini mencetuskan kebimbangan kepada pasukan pengaman antarabangsa apakah keamanan di Afghanistan akan terjamin sekiranya mereka yang dijadualkan meninggalkan Afghanistan menjelang Julai ini sehingga tahun 2014 menjadi kenyataan.
Kini masih terdapat sekitar 130,000 pasukan pengaman pelbagai negara di Afghanistan, dua pertiga daripadanya adalah dari Amerika Syarikat.


