suria

Australia Pertahan Keputusan Hantar Pulang Seorang Rakyat British Selepas 40 Tahun

SYDNEY: Australia pada Isnin mempertahankan keputusannya untuk menghantar pulang seorang lelaki British yang telah bermastautin di negara itu selama 40 tahun.

Bapa kepada tiga orang anak itu masih lagi terkejut dengan realiti yang beliau kini terpaksa berpisah dengan ahli keluarganya.

Clifford Tucker telah bermastautin di Australia sejak berusia enam tahun, tetapi tidak pernah peduli untuk memohon kerakyatan negara kangaroo itu.

Pada masa yang sama, Tucker juga berhadapan dengan satu masalah besar iaitu beliau mempunyai rekod jenayah yang bermakna beliau akan gagal sebarang permohonan visa.

"Isunya sekarang ialah kerajaan Australia mengamalkan polisi yang memberi keutamaan melindungi rakyatnya daripada sebarang ancaman jenayah atau tindak-tanduk yang serius yang boleh mengancam rakyatnya oleh warganegara luar," kata Menteri Imigresen Chris Bowen dalam satu kenyataan.

Juga kata Bowen, sebarang keputusan untuk tidak memberikan visa bukanlah dilakukan sewenang-wenangnya kerana kerajaan juga terpaksa mengambil kira pelbagai faktor termasuklah faktor keluarga, tempoh untuk menetap di negara itu dan juga pandangan komuniti setempat.

Tetapi Tucker, yang telah merengkuk di dalam penjara selama 12 tahun atas kesalahan menembak pegawai polis pada tahun 1983, menegaskan bahawa dia bukanlah seorang penjenayah berkala.

"... saya tidak pernah melakukan sebarang senayah sejak tahun 1999 melainkan kesalahan-kesalahan kecil," katanya kepada akhbar The Australian.

Kes Tucker menjadi isu pada tahun 2009 sebaik sahaja dia pulang dari bercuti di Bali dan membuat deklarasi kepada pegawai imigresen tentang sejarah kesalahan yang pernah dilakukannya.

Visanya kemudian telah dibatalkan pada penghujung tahun itu selepas dia didapati bersalah kerana melakukan kekasaran awam.

Tucker menjelaskan, dia berasa kecewa akan prospek yang dia tidak mungkin akan dapat melihat anak-anaknya lagi yang berusia 12, 15 dan 16 tahun.

"Ya saya mungkin terpaksa bergantung kepada Skype untuk bercakap dengan mereka tetapi ia tidak sama dengan memegang dan memeluk mereka," ujarnya lagi.

Rayuan Tucker ke atas keputusan yang dibuat oleh pihak kementerian juga telah ditolak.

Artikel Lain