suria

Hubungan Malaysia-Australia Akrab - PM

MELBOURNE: Sambil melahirkan perasaan puashati terhadap lawatannya ke Australia yang baru sahaja berakhir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyimpulkan pada Jumaat bahawa hubungan Malaysia dan Australia adalah akrab.

"Saya lihat dari segi hubungan rasmi dan peribadi, terdapat begitu banyak kemesraan dalam hubungan Malaysia-Australia," katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan rasmi tiga hari ke Australia.

Najib berkata beliau gembira dengan sambutan yang diberikan kepada beliau oleh kerajaan Australia.

"Kenyataannya bahawa sambutan sedemikian rupa yang diberikan menunjukkan bahawa Australia menghargai persahabatan dengan Malaysia," katanya.

Dengan melangkah ke hadapan, beliau berkata Malaysia dan Australia boleh menjadi rakan strategik dalam pelbagai aspek hubungan bukan sahaja dalam dagangan dan pelaburan tetapi juga dalam bidang pendidikan dan memerangi jenayah merentas sempadan seperti pemerdagangan manusia dan keganasan.

Najib, yang diberikan sambutan rasmi negara di pekarangan Bangunan Parlimen, semasa lawatannya, telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Julia Gillard di Canberra di mana kedua-dua pemimpin komited bagi mempertingkatkan hubungan dalam spektrum yang lebih luas.

Mengenai pertemuannya dengan pemimpin pembangkang Australia Tony Abbott, Najib, yang menyifatkan pertemuan itu sebagai amat baik berkata pembangkang nampaknya menyokong usaha kerajaan Gillard untuk meningkatkan hubungan dengan Malaysia.

Sementara itu, Najib berkata Kementerian Pengajian Tinggi bercadang mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan Australia dalam bidang pengajian tinggi yang antara lain membolehkan pemindahan kredit dibenarkan bagi membolehkan pelajar Australia menuntut di Malaysia.

Beliau berkata usaha itu akan meningkatkan bilangan pelajar Australia melanjutkan pelajaran di Malaysia yang pada masa kini jumlahnya amat kecil iaitu kurang dari 100 orang. - BERNAMA

Artikel Lain