suria

Firma Gergasi Jepun & Korea Bersatu Untuk Kuasai Saham Pengeluar Besi Berkualiti Tinggi

TOKYO: Firma gergasi dari Jepun dan Korea bercadang untuk membeli kepentingan dalam sebuah syarikat perlombongan Brazil yang melombong sejenis bahan galian yang sangat bernilai tinggi untuk membuat besi berkualiti tinggi yang digunakan dalam komponen kenderaan.

Saham yang ingin mereka kuasai itu dikatakan bernilai AS$1.95 bilion.

Selama ini Jepun dan Korea terlalu bergantung kepada China untuk memperolehi bahan galian berkenaan.

Firma Jepun yang berhasrat untuk memperolehi kepentingan dalam syarikat perlombongan Brazil itu ialah Nippon Steel, JFE Steel, Sojitz dan firma minyak Jepun, Japan Oil, Gas and Metals National Corp.

Sementara dua syarikat gergasi Korea yang turut menyatakan minat mereka ialah Posco dan agensi kerajaan Perkhidmatan Pencen Kebangsaan (NPS).

Syarikat perlombongan Brazil itu, Companhia Brasileira de Metalurgia e Mineracao (CBMM) menggali "niobium" iaitu sejenis bahan mineral besi yang jarang ditemui tetapi sangat bernilai kepada pengeluaran besi berkualiti tinggi untuk industri automobil dan lain-lain produk yang berkaitan seperti komponen komputer serta industri berteknologi tinggi.

Setakat ini China adalah pengeluar terbesar niobium - menguasai 90 peratus pengeluaran dunia.

Di bawah perundingan tersebut, firma-firma dari Jepun berminat untuk menguasai 10 peratus kepentingan dalam syarikat Brazil itu manakala lima peratus lagi oleh dua firma dari Korea.

Jurucakap NPS, Kim Seok-joo mengesahkan mengenai perundingan tersebut kepada Dow Jones Newswires.

"Posco dan NPS akan menguasai lima peratus daripada saham berkenaan yang bernilai AS$650 juta," ujarnya.

Posco adalah firma pembinaan gergasi Korea. Syarikat itu bertanggungjawab untuk membina sebuah bandar perdagangan berteknologi tinggi iaitu Songdo yang terletak di kawasan Zon Perdagangan Bebas Incheon.

Permintaan ke atas niobium dijangka akan terus meningkat dalam tahun-tahun mendatang memandangkan China, India dan beberapa negara lain akan muncul dengan syarikat-syarikat yang berteknologi tinggi serta menghasilkan besi berkualiti tinggi.

Buat masa ini, Jepun mengimport 90 peratus keperluan niobiumnya dari Brazil tetapi bahan tersebut diperolehi daripada pasaran terbuka. Langkah strategik ini adalah untuk memastikan ia memperolehi bahan berkenaan secara lebih stabil.

Apatah lagi China sejak akhir-akhir ini mengurangkan exports niobium tahun lalu untuk kegunaan domestiknya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bekas PM Turki Meninggal Dunia

Artikel Lain