suria

Pengeluar Farmaseutikal Malaysia Bersedia Pasarkan Produk Bangladesh

NEW DELHI: Malaysia berharap Bangladesh akan memberi pengiktirafan ubat-ubatan generik keluaran Malaysia untuk membantu meningkatkan pasaran eksport farmaseutikal negara dan pengeluar ubatan itu kini bersedia meluaskan pasaran mereka.

"Kita mahu mendaftarkan ubat-ubatan kita di Bangladesh. Kita telah pun mendaftarkan ubat-ubatan mereka di Malaysia, jadi kita mahu mereka melakukan perkara yang sama, jadi kita boleh menjual ubat-ubatan generik di Bangladesh.

"Ramai pengusaha syarikat farmaseutikal Malaysia bersedia mengembangkan pasaran mereka dan ia akan menjana pendapatan yang lebih kepada Malaysia," kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai selepas beliau mengadakan lawatan ke Dhaka.

Pasaran ubatan generik Malaysia pada masa ini bernilai kira-kira RM2 bilion dan dijangka berkembang pada kadar tahunan 14 peratus kebanyakannya kerana permintaan yang tinggi akibat pertumbuhan ekonomi, tarif yang rendah untuk ubat yang dieksport dan semakin ramai penduduk yang telah berumur.

Terdapat lebih 300 pengeluar ubatan berlesan di negara kita.

Bangladesh dan Malaysia juga bersetuju membuka lembaran baru dalam bidang perubatan -- persetujuan untuk menjalin kerjasama melatih jururawat, pertukaran doktor dan memajukan pelancongan kesihatan.

Liow, yang berada di Dhaka minggu ini bertemu rakan sejawatan, di mana kedua-dua menteri bersetuju untuk menyalurkan kepakaran dari kedua-dua negara memajukan bidang perubatan di negara masing-masing.

"Kami berbincang untuk membawa pakar dari Bangladesh ke Malaysia. Kita mempunyai doktor yang cukup tetapi kekurangan pakar, kebanyakan hospital daerah kita tidak mempunyai pakar.

"Saya perlu membawa kira-kira 200 pakar dari luar negara tahun ini, saya telah memaklumkan kepada India, Bangladesh dan Mesir," tambah beliau.

Kerajaan Bangladesh juga telah meminta Malaysia untuk melatih jururawat mereka dengan menubuhkan pusat latihan di Dhaka, memandangkan negara yang mempunyai penduduk yang ramai itu menghadapi kekurangan jururawat.

Khamis lepas Liow berada di Dhaka untuk melancarkan Seminar dan Pameran Penjagaan Kesihatan Malaysia 2011 di mana ia turut disertai 12 delegasi Malaysia yang terbabit dalam bidang itu. - BERNAMA

Artikel Lain