suria

Alstom Puas Hati Keputusan Mahkamah Perancis Dalam Kes Wall Street Journal

SINGAPURA: Alstom, syarikat pemimpin dunia dalam infrastruktur pengangkutan, penjanaan tenaga dan penghantaran, berkata ia berpuas hati terhadap keputusan mahkamah Perancis dalam kesnya terhadap Wall Street Journal.

Pada 2008, Wall Street Journal menyiarkan siri artikel yang mendakwa Alstom menyediakan sistem yang mudah menjejaskan integriti pegawai awam.

Pada September 2008, Alstom menyaman pengarang artikel itu dengan berkata dakwaan terbabit, yang tidak disokong bukti, menjejaskan imej dan hubungan komersilnya.

Dalam keputusan pada 1 Mac, 2011, Mahkamah Jenayah Nanterre di Perancis mengesahkan dakwaan itu "berunsur fitnah" dan menekankan "tidak ada mana-mana maklumat (yang dikemukakan oleh pengarah dalam pembelaannya) membuktikan wujud sistem berkenaan dalam Alstom.

Bagaimanapun, dengan menimbang bahawa tindakan itu "berniat baik" mahkamah membebaskan pengarang berkenaan.

Dalam satu kenyataan di sini Jumaat, Alstom berkata ia tetap mengatakan bahawa artikel Wall Street adalah semata-mata berasaskan spekulasi yang tidak berasas.

Ia berkata syarikat komited terhadap etika ketat yang dilaksanakannya.

Alstom berkata ia tidak akan merayu memandangkan mahkamah sudah mengesahkan ia benar dalam kes itu. - BERNAMA

Artikel Lain