suria

9 Terbunuh Dalam Letupan Kereta Di Pakistan

PESHAWAR: Sehari selepas Menteri Untuk Hal Ehwal Agama Minoriti Pakistan, Shahbaz Bhatti, mati dibunuh di Islamabad, sebuah kereta yang sarat dengan bom meletup di sebuah pekan kecil yang terletak 150 kilometer dari bandar ini - membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang dan mencederakan lebih 30 yang lain.

Menurut polis, sasaran letupan itu adalah anggota keselamatan.

"Pengebom itu meletupkan dirinya di dalam sebuah kenderaan sebaik sahaja keretanya itu dihampiri oleh sebuah kereta peronda polis untuk pemeriksaan di pekan Hangu dekat sini," kata ketua balai, Abdul Rasheed kepada wartawan AFP.

"Sembilan orang telah terbunuh dalam letupan itu yang mana tiga daripadanya adalah anggota polis dan selebihnya orang awam. Ia turut mencederakan 31 orang termasuk 12 wanita dan empat kanak-kanak," katanya.

Menurut Rasheed, berdasarkan letupan, pengebom itu sekurang-kurangnya membawa 300 kilo bahan letupan bersamanya.

Kata pegawai polis itu lagi, letupan berkenaan memusnah 13 buah rumah dan rumah kedai. Ia menyebabkan kawah sedalam 10 kaki dan 15 kaki lebar.

Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani dalam reaksi segera telah mengecam tindakan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan.

Pekan Hangu mempunyai sejarah pertelingkahan antara mazhab di Pakistan yang kebanyakkan penganutnya dari mazhab ahli sunnah waljamaah dan terdapat sekumpulan penganut minoriti mazhab syiah.

Amerika menyifatkan daerah Peshawar sebagai kawasan paling merbahaya di muka bumi.

Sementara itu, enam orang anggota polis Pakistan disahkan terbunuh dalam satu kejadian tembak menembak dengan sekumpulan puak yang bersenjata di wilayah Barat Daya berhampiran sempadan Afghanistan. Kejadian itu terjadi di kawasan puak Khyber yang terletak 30 kilometer dari sini dan disifatkan sebagai tidak mengenali peraturan dan undang-undang.

Lebih 4,000 orang telah terkorban akibat letupan dan pertelingkahan di seluruh Pakistan sejak tahun 2007.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bekas PM Turki Meninggal Dunia

Artikel Lain