suria

Bahaya Untuk Tahu: Realiti Kehidupan Di India Selepas Memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat...

NEW DELHI: Sejurus selepas dia mendedahkan bagaimana batu-bata di sebuah negeri di India dibeli pada harga enam kali ganda lebih tinggi daripada harga sebenarnya untuk membina jalan yang tidak pernah dibina, Amarnath Pandey telah menjadi mangsa tembakan misteri yang hampir-hampir meragut nyawanya.

Kejadian ini berlaku di Uttar Pradesh, iaitu sebuah negeri di Utara India.

Pandey, 56, adalah seorang doktor yang bermastautin di Robertsganj - iaitu sebuah pekan kecil yang terletak 640 kilometer dari ibu kota ini.

Sejak termaktubnya Akta Kebebasan Maklumat yang diluluskan pada tahun 2005, beliau telah mengisytiharkan perang ke atas penyelewengan harta awam.

Beliau menggunakan haknya untuk memperolehi maklumat untuk mempersoalkan mengapa jalan tidak dibina walaupun peruntukkan dan wang bagi tujuan tersebut telah dikeluarkan oleh kerajaan. Ke manakah wang peruntukkan itu pergi?

Dan hasil maklumat yang diperolehinya itu akhirnya hampir-hampir meragut nyawanya sendiri.

"Antara lain, saya dapati, 100 ketul batu-bata yang bernilai 400 rupees (8 dolar Amerika) telah dibeli pada harga 2,400 rupees. Wang pembayar cukai dengan begitu mudah diselewengkan dan yang lebih teruk lagi, jalan-jalan tersebut tidak pernah dibina pun," kata Pandey dalam interview bersama agensi berita AFP.

Walaupun insiden yang menimpanya sangat menakutkan tetapi nampaknya Pandey enggan mengaku kalah dan akan terus mendedahkan penyelewengan yang berlaku dalam sistem pentadbiran negeri menggunakan haknya sebagai rakyat di bawah akta tersebut.

Namun begitu sejak pendedahan demi pendedahan dilakukan oleh orang awam yang berani, 11 orang telah dilaporkan mati dalam keadaan yang penuh misteri selepas mereka mendedahkan kepincangan dan penyelewengan dalam pentadbiran negeri khususnya dalam bidang yang melibatkan pembinaan harta awam, perlombongan dan pengedaran makanan awam.

Pada bulan Julai tahun lalu, seorang aktivis alam sekitar, Amit Jethwa, dari Negeri Gujarat, di Barat India telah ditembak mati oleh dua lelaki yang menunggang motosikal di luar mahkamah.

Jethwa, 35, telah menggunakan haknya melalui akta tersebut untuk mendedahkan aktiviti perlombongan haram di kawasan perlindungan Singa Gir - iaitu satu-satunya kawasan perlindungan Singa Asia di dunia.

Dalam satu insiden lain pula, menantu seorang lelaki yang mendedahkan penyelewengan dalam skim pencen di Negeri Haryana telah dibunuh oleh seorang ketua kampung yang peranannya dalam penyelewengan tersebut telah didedahkan.

Lelaki berani tersebut yang bernama Mahabir Singh bersama beberapa lagi rakannya telah mendedahkan aktiviti menyeleweng duit pencen yang dilakukan oleh ketua kampung yang bernama Dharamvir Malik, lapor akhbar The Times of India pada 14 Februari lalu.

Malik dan sekutu-sekutunya telah memukul Singh dan mengilis menantu perempuannya yang berusia 25 tahun menggunakan motosikal mereka.

September lalu, Menteri Undang-Undang, Veerappa Moily mengisytiharkan mereka yang terbunuh kerana mendedahkan penyelewengan ke atas harta awam sebagai "hero negara" dan menegaskan pihak berkuasa harus melalukan sesuatu untuk memberi perlindungan kepada aktivis yang berani mendedahkan penyelewengan dan korupsi.

Sehubungan dengan itu, kerajaan kini sedang menimbang untuk memperkenalkan undang-undang baru bagi memberi perlindungan kepada mereka yang mendedahkan penyelewengan pada sesi parlimen yang sedang berlangsung sekarang.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Bihar iaitu sebuah badan kerajaan yang ditubuhkan oleh Negeri Bihar mendedahkan laporan bagaimana rakyat yang berani mendedahkan penyelewengan dan korupsi berhadapan dengan ancaman dan mendesak agar kerajaan mengantung tugas 54 pegawai awam yang didakwa melakukan penyelewengan di negeri berkenaan.

Suruhanjaya itu mendakwa tidak ada tindakan yang diambil ke atas nama-nama yang didedahkan melakukan penyelewengan ke atas harta awam di Negeri Bihar yang merupakan salah satu negeri paling mundur di India.

Seorang guru, Sumankant Raichaudhari, yang mengajar di ibu negeri Bihar, Patna, berkata, dia sendiri telah melaporkan 150 permohonan untuk melihat bagaimana bajet untuk sekolah di negeri berkenaan disalurkan bagi memastikan apakah kesemua bajet tersebut benar-benar digunakan untuk keperluan pelajar.

Malangnya, kata Raichaudhari, pihak berkuasa negeri bertindak dengan cuba merasuahnya dan apabila mereka menyedari usaha itu tidak berhasil mereka cuba mengugutnya dengan mengancam untuk menculik anak perempuannya.

"Saya terus membuat laporan polis ke atas dua pegawai kerajaan yang cuba merasuah saya dan kemudian membuat ugutan itu tetapi sehingga hari ini, tidak ada siasatan yang dilakukan ke atas pegawai-pegawai berkenaan. Mereka masih bebas...," kata Raichaudhari.

Seorang lagi aktivis yang berpusat di Mumbai, Sumaira Abdulali, yang mengasaskan Gerakan Menentang Pemerasan, Ancaman dan Balas Dendam Ke Atas Aktivis telah menjadi mangsa serangan sebanyak dua kali kerana mendedahkan komplot perlombongan haram yang bernilai berjuta dolar yang melibatkan ahli-ahli politik, kakitangan awam dan anggota polis.

"Saya berjuang untuk mendedahkan bagaimana sistem kerajaan telah dijangkiti dengan wabak korupsi dan ketamakan dan kini saya berakhir dengan perjuangan untuk menyelamatkan nyawa saya sendiri," ujarnya sambil menyatakan kebimbangan bahawa akan tiba masanya orang ramai akan menyerah kalah kepada usaha untuk membersihkan sistem yang telah korup itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bekas PM Turki Meninggal Dunia

Artikel Lain