WASHINGTON: Presiden Barack Obama yang kini 'kehilangan' dua orang kanan pentadbirannya sedang mencari calon yang layak untuk mengisi jawatan ketua staf White House dan juga setiausaha akhbar yang baru.Semalam (Rabu), Obama telah 'menemuduga' William Daley, yang dilihat sebagai calon utama untuk mengisi jawatan ketua staf. Jawatan ketua staf White House adalah jawatan pentadbiran paling berpengaruh dan berkuasa pejabat presiden kerana penyandang jawatan itu juga bertindak sebagai penasihat serta penentu siapa yang patut bertemu dan berjumpa dengan presiden serta menentukan jadual dan halatuju polisi presiden.Pendek kata penyandang jawatan itu adalah orang kanan yang sentiasa berada di sisi presiden Amerika Syarikat. Jawatan tersebut juga bertaraf menteri dan merupakan anggota jemaah kabinet kerajaan persekutuan.Daley, yang kini dilihat sebagai calon utama bagi mengisi jawatan tersebut pernah berkhidmat di bawah pentadbiran Bill Clinton sebagai setiausaha perdagangan (menteri perdagangan).Ketua Staf White House Obama yang pertama, Rahm Emanuel, seorang keturunan Yahudi telah meletakkan jawatan tahun lalu untuk membolehkannya bertanding jawatan datuk bandar Chicago.Di Amerika, jawatan datuk bandar adalah satu jawatan utama yang dipertandingkan dan penyandang jawatan itu melaksanakan tugas-tugas eksekutif mengawal selia bandar termasuk mengawal selia jabatan polis.Ini kerana jabatan polis adalah milik bandaraya dan oleh yang demikian, ketua jabatan polis bertanggungjawab kepada datuk bandar, tidak sepertimana di Malaysia dan negara-negara lain.Buat masa ini, jawatan ketua staf White House dipangku oleh Pete Rouse, iaitu seorang staf Obama yang tidak begitu dikenali.Sehari sebelum Daley dilaporkan bertemu Obama, setiausaha akhbar presiden Amerika itu, Robert Gibbs turut mengumumkan perletakan jawatannya tetapi akan tetap membantu presiden meneruskan agendanya dari luar White House.Gibbs khabarnya melepaskan jawatannya itu bagi membolehkannya mengepalai pasukan kempen Obama menjelang kempen pilihan raya presiden tahun 2012.Jawatan presiden Amerika Syarikat dipilih setiap empat tahun sekali tidak lima tahun sepertimana kebanyakkan negara lain.