suria

Pakistan Belanjakan RM199 Juta Import Sireh Dan Pinang

NEW DELHI: Tradisi mengunyah 'paan' atau sireh di Pakistan nampaknya semakin menjadi amalan yang mahal dengan negara berkenaan membelanjakan sehingga US$64.7 juta (RM199.9 juta) untuk mengimport daun sireh dan buah pinang setiap tahun.

Kedua-dua bahan ini digunakan dengan meluas untuk membuat paan, selain dicampur ramuan lain seperti kapur tohor, buah pelaga, bunga cengkih dan pudina, menjadi sejenis penyegar mulut aromatik yang popular di benua kecil India.

Pecahan import Pakistan terhadap kedua-dua bahan itu, menurut Kementerian Perdagangan antara 2009 dan 2010 adalah US$59 juta (RM182 juta) bagi buah pinang dan US$5.7 juta (RM17.6 juta) bagi daun sireh.

Perangkaan yang mengejutkan ini didedahkan oleh Menterinya, Makhdoom Amin Fahim dalam persidangan parlimen pada Rabu, menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penggubal undang-undang Pakistan.

"Kami tidak ada masalah untuk menaikkan cukai terhadap import barangan ini. Bagaimanapun, langkah itu akan hanya mencetuskan kemarahan orang ramai. "Bahan-bahan ini digunakan untuk membuat paan, satu daripada ketagihan yang mendapat permintaan tinggi di negara ini," kata Makhdoom, yang dilaporkan oleh Dawn.com, laman web berita terulung Pakistan.

Menurut laman web itu, Pakistan mengimport buah pinang dari India, Malaysia, Myanmar dan Thailand.

Daun sireh pula diperoleh dari Bangladesh, beberapa negara Afrika dan Sri Lanka. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain