suria

"Mari kita berbincang secara langsung" - Suu Kyi

YANGON: Pemimpin pembangkang pro-demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi yang dibebaskan daripada tahanan dalam rumah selama tujuh tahun, Sabtu memberitahu ribuan penyokongnya, beliau akan terus memperjuangkan hak-hak kemanusiaan dan menegakkan undang-undang di negara yang diperintah kerajaan junta tentera.

Mereka bersorak, "Kami sayang Suu" apabila ikon pro-demokrasi itu tampil berucap di depan kira-kira 5,000 penyokong yang berkumpul di ibu pejabat parti politiknya.

Ia merupakan tempat persinggahan pertama bagi pemenang Hadiah Nobel Keamanan tersebut selepas meninggalkan rumah di tepi tasik yang menjadi "penjara" kepadanya sebelum ini.

"Saya percaya kepada hak-hak kemanusiaan dan undang-undang. Saya akan terus memperjuangkan perkara-perkara ini.

"Saya akan berkerjasama dengan semua kuasa demokratik dan saya memerlukan kerjasama rakyat," katanya.

Bercakap kepada pemberita sejurus itu, Suu Kyi berkata, mesej beliau kepada pemimpin tertinggi tentera, Panglima Than Shwe ialah "Mari kita berbincang secara langsung".

"Saya menyokong perdamaian nasional. Saya bersedia berdialog. Saya akan menggunakan segala kuasa yang ada (untuk tujuan tersebut). Saya berharap orang ramai menyokong saya," katanya.

Dua pemimpin itu berjumpa kali terakhir dalam satu perbincangan sulit pada 2002 dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Sementara itu, Nyan Win yang merupakan peguam kepada Suu Kyi berkata, pemimpin itu dibebaskan sepenuhnya tanpa sebarang syarat. - AP

Artikel Lain