suria

Rakyat Malaysia Hilang Ditemui Mati Dibunuh Di Madurai

CHENNAI: Tiga rakyat Malaysia, seorang wanita dan dua anaknya yang dilapor hilang Isnin lepas di selatan India ditemui mati, kata polis.

Mayat M. Adhila Banu, 24, anak lelakinya Mohd Aslam (7) dan anak perempuannya Ajira Banu (5) yang telah reput itu di ditemui di Vadipatti di Madurai, Tamil Nadu pada pagi Khamis.

"Ia adalah kes bunuh, mayat itu dikenal pasti oleh ibu Adhila dan dia mengesahkan tiga mayat itu adalah anak dan dua cucunya.

"Mayat reput tiga beranak itu ditemui dalam jarak kira-kira lima kilometer terpisah antara satu sama lain dan dibalut dengan 'dhoti' putih. Mayat itu dibuang ke dalam terusan yang berisi air, di bawah jambatan," kata inspektor polis Vadipatti P.R Lakshmanan kepada Bernama, Jumaat.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif, punca dan lokasi sebenar pembunuhan itu.

Adila dan dua anaknya pulang ke kampung halaman mereka di Barathi Nagar di daerah Ramanathapuram dari Malaysia kira-kira tiga bulan lepas dan tinggal bersama ibu bapanya.

Menurut ibunya, Saibu Nisha, 56, Adila dan dua anaknya tidak pulang selepas keluar dari rumah Isnin lepas untuk membeli tong gas memasak.

Mayat mereka ditemui kira-kira 150 kilometer dari rumah mereka.

Mayat tiga beranak itu kini ditempatkan di Hospital Kerajaan di Madurai untuk bedah siasat, dan polis menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat kes itu, kata Lakshmanan.

Suami Adila, yang merupakan rakyat Malaysia dan bekerja sebagai pemandu masih berada di Malaysia, kata polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain