suria

Lelaki Parah Dalam Insiden Letupan Bom Di Bangkok

BANGKOK: Sebutir lagi bom meletup di Bangkok hari ini, mengakibatkan seorang lelaki cedera parah, dalam siri kedua serangan bom di ibu kota ini dalam tempoh seminggu.

Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam urusan keselamatan, Suthep Thaugsuban berkata bom itu meledak di King Power Complex, berhampiran Victory Monument, di Phayathai di sini kira-kira 1.30 pagi.

Pengarah Hospital Ratjavithi Dr Warunee Jinarat berkata keadaan mangsa, seorang lelaki tidak dikenali yang berumur kira-kira 30 tahun, amat kritikal.

"Pesakit berada dalam koma dan otaknya tidak berfungsi. Tubuhnya dipenuhi serpihan letupan bom dan ada di antaranya terpacak di kepalanya. Peluang mangsa untuk terus hidup kurang daripada 10 peratus," kata Dr Warunee.

"Orang yang membuat kacau ini hanya mahu mengurangkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan," kata Suthep.

Ahad lepas, sebutir bom yang disembunyikan dalam tong sampah berhampiran sebuah perhentian bas di depan sebuah pasar raya di pusat bandar ini diledakkan pada 5.45 petang menggunakan alat pemasa yang mengorbankan seorang awam selain mencederakan 10 yang lain.

Bangkok dan sembilan wilayah lagi masih diletakkan dalam keadaan darurat selepas berakhirnya demonstrasi jalanan selama 10 minggu di ibu kota ini pada 19 Mei yang mengakibatkan 90 orang terbunuh dan 1,800 lagi cedera.

Antara sebab darurat masih dikuatkuasakan dan dilanjutkan sehingga 7 April di ibu kota ini ialah pihak berkuasa telah pun mengesan gerakan bawah tanah yang cuba menggugat keamanan dan kestabilan negara.

Masalah utamanya ialah pihak berkuasa tidak tahu bila dan di mana serangan itu mungkin berlaku.

Selain daripada dua serangan bom baru-baru ini, keamanan kembali pulih di Bangkok dengan pejabat kerajaan, sekolah, bank, pusat perniagaan dan pengangkutan awam beroperasi seperti biasa. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain