suria

Status Perintah Darurat Di Thailand Diputuskan Minggu Depan - Abhisit

BANGKOK: Kerajaan Thailand akan membuat keputusan Selasa depan sama ada mahu menarik balik perintah darurat yang diisytiharkan di ibu negara dan 23 wilayah lain di negara itu sejak April lalu.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata Pusat Situasi Resolusi Kecemasan (CRES) masih memantau keadaan keselamatan sebelum Kabinet memutuskan perkara itu minggu depan.

Perintah darurat diisytiharkan di Bangkok pada 7 April lalu dan dilanjutkan ke satu pertiga kawasan di negara itu berikutan siri bantahan anti kerajaan dan keganasan.

Perintah darurat itu dijangka tamat pada 7 Julai ini.

Selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di sini hari ini, Abhisit berkata kerajaan masih memantau kejadian serangan dua bom berasingan di Nonthaburi dan Bangkok minggu lepas.

Di Nonthaburi, Ahad lalu, sebutir bom tangan dilemparkan ke depot minyak tentera tetapi ia terkena tangki kosong manakala sebutir bom meletup di ibu pejabat Parti Bhumjaithai, parti komponen kerajaan, di sini, Selasa lepas.

Pada Sabtu lalu, sebutir bom buatan sendiri ditemui dalam sebuah pondok telefon di Udon Tani tetapi bom berkenaan tidak meledak.

"Kesemua insiden pengeboman itu berlaku kerana ada sebilangan kumpulan mahu mencetuskan huru hara di negara ini," kata Abhisit.

Bagaimanapun, beliau yakin kerajaan akan menyelesaikan masalah itu.

Dalam siri bantahan di negara itu, sejumlah 90 orang, iaitu 79 orang awam dan 11 pegawai keselamatan, terbunuh manakala lebih 1,800 orang cedera dalam pertempuran berdarah antara 10 April dan 19 Mei lalu.

Protes anti kerajaan diadakan oleh kumpulan 'Baju Merah' iaitu penyokong Barisan Bersatu Untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD) selama 10 minggu mulai 12 Mac hinga 19 Mei lalu dalam usaha mendesak kerajaan membubarkan Parlimen. - BERNAMA

Artikel Lain