suria

Bot Berlanggar Di Thailand: 38 Cedera Termasuk Rakyat Malaysia

BANGKOK: Seramai 38 orang cedera, 16 penduduk tempatan dan 22 warga asing termasuk seorang rakyat Malaysia, apabila dua bot berlanggar antara Pulau Ko Phangan dan Pulau Ko Samui, yang terletak kira-kira 600 kilometer dari sini, semalam.

Komander Bahagian Pencegahan Jenayah Balai Polis Samui Sarjan Mejar Kanan Adipong Thepee berkata, rakyat Malaysia itu dikenali sebagai Perminder Grewa, 25, yang kini menerima rawatan pesakit luar di Hospital Bangkok di Samui kerana cedera ringan.

Warga asing lain ialah dari Norway, England, Australia, Iceland, Singapura, Israel dan Taiwan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan pecahan mengikut negara dan identiti mangsa yang terlibat.

Katanya, empat warga asing yang cedera parah dalam perlanggaran itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital tersebut sementara mangsa lain dirawat di dua lagi hospital iaitu Hospital Bandon Inter dan Hospital Thai Inter, kedua-duanya terletak di Samui.

Adipong berkata pelanggaran itu berlaku antara 11.30 malam dan 11.45 malam semalam ketika hujan dan keadaan berangin apabila bot berkenaan berlepas dari kedua-dua pulau sebelum berlanggar di tengah-tengah perjalanannya.

Mangsa yang cedera adalah dari kedua-dua bot dan ketika ini, jumlah penumpang sebenar belum dapat dipastikan, katanya.

Beliau berkata polis sedang menyiasat punca pelanggaran itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain