suria

Singapura Dilanda Banjir Kilat

SINGAPURA: Hujan lebat sejak awal pagi ini mencetuskan kebimbangan berulangnya banjir kilat besar seperti yang berlaku pada Rabu lalu di sekitar kawasan Orchard Road.

Hujan yang turun mencurah-curah turut menyebabkan kesesakan trafik di semua lebuh raya utama di Singapura.

Tambah menyukarkan ialah dengan keadaan langit yang gelap membataskan penglihatan para pengguna lebuh raya.

Maklumat daripada one.motoring portal melaporkan kesesakan teruk berlaku di AYE, KPE, SLE, BKE dan CTE.

Trafik di CTE menuju ke SLE selepas Ang Mo Kio Avenue 1 hampir terhenti disebabkan satu halangan besar yang menyekat tiga lorong.

Sebatang pokok jatuh di luar kawasan Orchard Central, berhampiran stesen MRT Somerset di Orchard Road hingga menghalang tiga daripada lima lorong, namun tiada banjir dilaporkan berlaku di kawasan pusat membeli-belah di kawasan itu.

Berdasarkan maklumat yang dimaklumkan oleh pembaca, banjir berlaku di Upper Thomson Road berhampiran persimpangan Sin Ming Road, kawasan Bishan, dan Jalan Boon Lay ke arah Corporation Road.

Ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan agensi meteorologi Singapura menyatakan hujan lebat dan guruh dijangka melanda semua bahagian di Singapura dari pukul 8 hingga 11 pagi. - THE STRAITS TIMES

Artikel Sebelum

Gempa Bumi Gegar Kepulauan Solomon

Artikel Berikut

Artikel Lain

Calon SPM MRSM Lipis dikuarantin