suria

India Buka Lapangan Terbang Ultra Moden Di New Delhi

NEW DELHI: Terminal lapangan terbang baharu yang canggih di India, Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGI), yang bakal dirasmikan Sabtu ini, akan mengubah pintu masuk tertua Asia Selatan kepada lapangan terbang kelima terbesar di dunia.

Perasmian terminal baharu itu, yang dibina pada kos hampir US$2.6 bilion (RM9.10 bilion), juga akan menjadikan IGI sebagai terminal penumpang ketiga terbesar di dunia, selepas lapangan terbang antarabangsa Dubai dan Beijing.

Dengan kapasiti mengendalikan hampir 35 juta penumpang setahun, terminal antarabangsa ultra moden ini, dikenali sebagai T3, mempunyai 78 jambatan udara dan landasan sepanjang 1.2 kilometer.

Projek mega ini dijalankan oleh Delhi International Airport Ltd (DIAL), konsortium yang diterajui oleh syarikat prasarana utama yang berpangkalan di Bangalore, GMR Group, Lembaga Lapangan terbang India, Fraport, yang berpangkalan di Jerman dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Perdana Menteri India Manmohan Singh dijangka merasmikan T3 trsebut pada pagi Sabtu, bersama-sama pemimpin Kongres Sonia Gandhi.

Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Kong Cho Ha akan mengetuai delegasi Malaysia ke majlis itu.

Kerajaan India menyuntik berbilion dolar bagi memperbaiki infrastruktur di ibu negara itu mendahului Sukan Komanwel pada Oktober ini yang termasuk T3 yang baru, pengembangan lebuh raya dan pembinaan rel metro merentasi Delhi.

India, dengan ekonomi bernilai US$1.2 trilion (RM4.2 trilion), yang ketiga terbesar di Asia selepas China dan Jepun, juga dalam proses menaik taraf infrastrukturnya yang diperlukan bagi menyokong ekonominya yang berkembang, pada kira-kira lapan peratus, tidak terjejas dengan kemelesetan global baru-baru ini. -BERNAMA

Artikel Lain