suria

Pengajian Bahasa Melayu Di China Menggalakkan - Prof Liang Liji

BEIJING: Sambutan terhadap pengajian Bahasa Melayu di China kini amat menggalakkan dengan enam buah universiti ternama termasuk Universiti Peking dan Universiti Beijing sudah mempunyai Jabatan Bahasa Melayu.

Profesor Fakulti Bahasa Timur Universiti Peking, Liang Liji berkata penambahan bilangan pelajar Cina yang mempelajari Bahasa Melayu di enam universiti tersebut amat menggalakkan.

Ini secara langsung membuktikan Bahasa Melayu dianggap satu keperluan oleh masyarakat pelajar, katanya.

Beliau berkata, dalam era globalisasi yang penuh peluang dan cabaran, China dengan negara ASEAN khususnya perlu mendorong hubungan ke peringkat yang lebih tinggi melalui hubungan bilateral dengan menggunakan Bahasa Melayu.

"Untuk merealisasikan apa-apa yang diidamkan dan peranan Bahasa yang mutlak, maka pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di China dan Bahasa China di Alam Melayu seperti Malaysia perlu terus digalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk "Peranan Bahasa Melayu dalam sejarah hubungan China Alam Melayu" pada Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu di Beijing Laurel Hotel di sini hari ini.

Liang Liji yang pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Persahabatan Malaysia-China oleh Malaysia pada 2004, berkata Bahasa Melayu boleh memainkan peranan penting dalam pergaulan antara dua bangsa dan menjadi pengukur betapa eratnya hubungan kedua-dua bangsa Malaysia dan China.

Beliau juga berpendapat jika taraf pengajian dapat ditingkatkan, akan wujud kesan lebih baik untuk melihat masa depan Bahasa Melayu muncul sebagai lingua franca yang mantap di Nusantara.

Seramai 150 peserta dari Malaysia dan China menyertai seminar itu pertama kali diadakan di China, anjuran Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM).

Esok peserta seminar akan mengadakan lawatan ke Beijing Foreign Studies University dan Kedutaan Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain