suria

Malaysia Mahu Jalin Kerjasama Dengan Korea Dalam ICT

SEOUL: Malaysia mahu menjalin lebih banyak kerjasama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan Korea Selatan, negara yang disifatkannya sebagai jaguh ICT, bagi melonjakkan hubungan dua hala dalam bidang ICT yang kini masih sederhana.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Malaysia merancang agar kerjasama dengan Korea Selatan dapat diterjermahkan dalam projek-projek berkaitan ICT bagi mengeratkan jalinan hubungan diplomatik antara dua negara, yang pada tahun ini merayakan 50 tahun hubungan diplomatik.

Beliau berkata Malaysia akan mencuba meneroka beberapa bidang ICT di mana Korea Selatan mempunyai kekuatan dalam pelaksanaan projek.

"Kita akan tentukan misalnya bagaimana Korea Selatan boleh melonjak dan menjadi negara nombor satu dalam bidang ini, bagaimana mereka meletakkan kepentingan ICT di kampung-kampung seluruh Korea Selatan, di samping mengajar anak-anak muda untuk ICT dijadikan bahan membuat keuntungan dan pada masa mengisi budaya Korea dalam ICT, yakni industri kandungan.

"Perkara-perkara ini amat menarik, kami akan mencuba meneroka beberapa bidang," katanya kepada wartawan Malaysia sewaktu menghadiri Sidang Kemuncak Maklumat dan Komunikasi Sedunia 2010 di sini.

Rais berkata Korea Selatan juga mempunyai program menarik dalam memupuk animasi dan penyelidikan dalam bidang tiga dimensi, kaedah yang digunapakai dalam filem epik sains fiksyen hebat Avatar.

"Bidang-bidang ini sangat menarik dan akan memberi keuntungan besar kepada kedua-dua negara. Kami sebenarnya melihat industri ICT Korea Selatan sebagai satu jaguh sebab mereka sudah dapat mempelopori beberapa arena yang sudah maju di peringkat antarabangsa," katanya.

"Jadi kita harus melihat bagaimana Korea Selatan menjual budaya animasinya, menjual budaya wayang gambar atau sinematografinya di luar pantai Korea, ini sangat menarik," katanya.

Katanya agensi yang terlibat dalam bidang ICT di Malaysia perlu melihat perkembangan ICT Korea Selatan secara mendalam dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan tentang pendekatan yang boleh diambil bagi meneladani kejayaan Korea Selatan "dalam konteks yang terhad tetapi menyeluruh di Asia Tenggara".

Rais berkata kerjasama ICT Malaysia-Korea Selatan boleh juga dilakukan dalam bentuk skim latihan ICT melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Suruhajaya Komunikasi Korea Selatan dan juga antara pengamal-pengamal ICT di kedua-dua negara.

"Mungkin ada beberapa pengamal ICT kita (Malaysia) akan ke mari (Korea) dan pengamal ICT Korea Selatan pula akan ke Kuala Lumpur untuk melihat bagaimana industri ICT di Malaysia dapat berkembang sebaik mungkin," katanya.

Rais meyifatkan penganjuran WISC, di mana pemimpin, menteri dan timbalan menteri dari kira-kira sembilan negara mengambil bahagian dan bertukar-tukar pendapat, sebagai jangkauan murni yang dilaksanakan Korea.

"Korea Selatan sebagai negara berpengalaman, mereka memanjangkan persabahatan ini dengan negara-negara membangun supaya Asia keseluruhannya tidak ketinggalan.

"Kita akan ambil ini sebagai satu langkah permulaan, menjana zaman dan era baru agar ICT merupakan sebahagian cara hidup yang membawa faedah ekonomi, budaya dan faedah industri," katanya.

Persidangan dua hari WICS 2010 anjuran Suruhanhaya Komunikasi Korea bermula Selasa bertujuan memperkukuhkan kerjasama dan membina masa depan yang lestari dengan berkongsi pengalaman dan visi negara peserta dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Rais berkata Malaysia dan Korea Selatan juga akan berbincang tentang kemungkinan diwujudkan penulisan buku mengenai hubungan 50 tahun Malaysia-Korea Selatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Gempa Kuat Di Brazil

Artikel Lain