suria

Perintah Berkurung Dilanjut Hingga Jumaat

BANGKOK: Thailand melanjutkan perintah berkurung di Bangkok dan 23 wilayah lain hingga Jumaat.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva berkata hari ini tempoh perintah berkurung akan dipendekkan dari 12 tengah malam hingga 4 pagi.

"Bagaimanapun, perintah berkurung di mana-mana kawasan boleh dibatalkan serta merta jika keadaan keselamatan kembali terkawal sepenuhnya," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan di sini, yang pertama selepas mesyuarat diadakan di beberapa tempat lain semasa protes anti-kerajaan selama 10 minggu.

Timbalan Perdana Menteri bertanggungjawab mengenai Keselamatan Suthep Thaugsuban berkata lanjutan perintah berkurung itu perlu oleh kerana masih terdapat gerakan anti-kerajaan di sesetengah kawasan.

Kerajaan mengisytiharkan perintah berkurung itu sejak 19 Mei berikutan kegelisahan di wilayah-wilayah berkenaan selepas operasi tentera terhadap penunjuk perasaan kemeja merah anti-kerajaan di ibu negara ini yang mengorbankan 85 orang dan 1,400 cedera sepanjang tempoh protes itu.

Perintah berkurung itu telah dilanjutkan beberapa kali dan dijadualkan berakhir hari ini.

Mengenai usul tidak percaya terhadap beliau, Suthep dan empat menteri lain yang dikemukakan oleh Pembangkang di parlimen semalam, Abhisit berkata kerajaan menyambut baik usul itu untuk dibahaskan.

"Ini peluang besar bagi orang ramai mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata kerajaan telah menghubungi Presiden Parlimen Chai Chidchob bagi menetapkan tarikh perdebatan yang dijangka diadakan pada Isnin atau Selasa depan.

Ketua whip Pembangkang Wittaya Buranasiri mengemukakan usul itu yang ditandatangani oleh 184 anggota Parlimen pembangkang dari Parti Pheu Thai.

Sementara itu, Abhisit berkata Kabinet bersetuju membantu masyarakat peniaga yang terjejas oleh tindakan membakar bangunan sebanyak 50,000 Baht tiap seorang.

Mereka boleh juga memohon pinjaman 1 juta Baht dari SME Bank dengan faedah tiga peratus dengan 30,000 Baht pertama tanpa faedah untuk tahun pertama, katanya.

Kira-kira 3,000 ahli perniagaan mendaftar untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan hingga semalam.

Kerajaan juga bersetuju membantu menempatkan semula komuniti pernigaaan di Central World, Siam Square dan Centre One yang teruk mengalami kebakaran, ke lokasi perniagaan lain.

Kira-kira 20,000 pekerja di pusat bandaraya yang hilang pekerjaan buat sementara akibat protes itu akan diberikan bantuan kewangan masing-masing 7,500 Baht sebulan oleh kerajaan, kata beliau.

Pertumbuhan ekonomi Thailand bagi tahun ini mungkin merosot sebanyak 1 hingga 1.5 peratus, pelancongan 10 peratus, pelaburan tiga peratus dan makanan sebanyak tiga peratus.

Bilangan ketibaan pelancong turun sebanyak dua pertiga kepada 10,000 setiap hari berbanding 30,000 sehari sebelum kegelisahan itu. - BERNAMA

Artikel Lain