suria

Jeneral Polis Bongkar Kes Rasuah "Mafia" Undang-Undang Ditangkap

JAKARTA: Seorang jeneral polis Indonesia, yang membongkar kes rasuah membabitkan pegawai tinggi Polis Indonesia serta pegawai kanan di Pejabat Pendakwa Raya dan Jabatan Kehakiman, ditangkap polis pada petang Isnin sebagai seorang suspek yang menerima rasuah.

Penangkapan Susno Duadji dibantah para peguamnya yang mendakwa beliau dijerat kerana membongkar kes "mafia" dalam sistem perundangan Indonesia, namun Polis Indonesia menegaskan bahawa mereka mempunyai bukti Susno sebagai suspek.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia Inspektor Jeneral Edward Aritonang memberitahu wartawan malam bahawa Susno ditangkap berkaitan kes sengketa perniagaan syarikat PT Salmah Arowana Lestari (SAL) yang berniaga ikan arowana dengan rakan kongsi dari Singapura.

Kes itu dipercayai melibatkan pegawai tinggi polis menerima suapan untuk memenangkan satu daripada pihak yang bersengketa. Ia merupakan satu daripada dua kes dibongkar oleh Susno, yang juga bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia, semasa memberi kenyataan di Dewan Perwakilan Rakyat bulan lepas.

"Telah terjadi perbuatan jenayah penyuapan terhadap mafia undang-undang. Penyiasat mempunyai bukti cukup untuk menjadikan Susno Duadji sebagai suspek," kata Edward.

Edward menafikan dakwaan penangkapan Susno sebagai suspek kes itu dilakukan sebagai membalas dendam kerana Susno membuka aib dalam Polis Indonesia selepas Susno tidak lagi menjadi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia.

Seorang peguam Susno, Muhammad Assegaf berkata beliau yakin polis tidak mempunyai bukti untuk menjadikan Susno sebagai suspek apatah lagi untuk menangkapnya.

"Kita percaya penangkapan ini dirancang sejak awal," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain