KUALA LUMPUR: Ketua perunding Palestin, Dr Saeb Erakat, menyambut baik keputusan Majlis Kesatuan Eropah mengenai proses keamanan timur Tengah yang antara lainnya memberi keutamaan kepada undangundang antarabangsa berhubung isu seperti Baitulmaqdis dan penempatan Israel yang tidak sah.
Keamanan di Timur Tengah bergantung kepada kesanggupan masyarakat dunia memainkan peranan lebih cergas dalam melaksanakan undangundang antarbangsa dan mempertahankan kewibawaan perjanjian sedia ada, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Palestin kepada Bernama di sini hari ini.
Dr Erakat berkata masyarakat antarabangsa perlu menetapkan dengan jelas maksud sebenar undangundang antarabangsa dan perjanjian sedia ada, dan mengambil tindakan susulan yang konkrit ke arah mencapai keamanan.
"Inilah satu-satunya harapan yang tinggal pada kami bagi menyelamatkan prospek mencapai penyelesaian menerusi kewujudan dua negara," katanya.
Dr Erakat berkata EU mempunyai peranan yang penting untuk membantu ke arah mewujudkan keamanan di rantau itu, dan ini boleh dilakukannya berdasarkan garis panduan sedia ada, seperti mengharamkan pembinaan penempatan dan tidak menggalakkan rakyat dari negara EU melabur atau membiayai aktiviti pembinaan penempatan.
Beliau berkata harapan mencapai keamanan menjadi semakin pudar dengan adanya penempatan tidak sah di Tebing Barat dan dengan tindakan Israel menyerang penduduk Palestin.
"Israel tidak boleh bertindak melebihi undangundang dan ia bukanlah satusatunya pihak yang wujud di rantau itu," kata Dr Erakat. BERNAMA


