suria

Perlu Pegangan Prinsip Bagi Hentikan Pencabulan Hak Di Palestin OIC

DUBAI: Komuniti antarabangsa telah diberi peringatan supaya berpegang kepada prinsip bagi menghentikan pencabulan hak asasi buat selama-lamanya di wilayah pendudukan Palestin termasuk bandaraya Al Quds.

Peringatan tersebut diberikan oleh setiausaha agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Prof Ekmeleddin Ihsanoglu sempena Hari Hak Asasi Manusia Sedunia.

Dalam perutusan yang dikeluarkan dari ibu pejabat OIC di Jeddah, beliau melahirkan harapan untuk melihat sebuah dunia yang adil, saksama, toleransi dan sejahtera di mana kesucian nyawa manusia dihormati serta martabat hak manusia yang tidak boleh diubah dikekalkan.

"Dalam menyambut Hari Hak Asasi Manusia tahun ini, kita perlu mengulangi pendirian bersama keazaman bagi menampung kepelbagaian dan menghapuskan diskriminasi.

"Ini boleh dilakukan dengan menghidupakan semangat dialog, kerjasama dan saling menghormati di peringkat akar umbi," katanya.

Prof Ihsanoglu juga menggesa semua umat Islam supaya menjaga kesucian nyawa manusia mengikut lunas-lunas ajaran Islam.

"Tetapi malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan dengan penuh kejutan, perbuatan jenayah dan pencabulan yang dahsyat terhadap hak asas manusia," katanya.

Masyarakat dunia menyambut Hari Hak Asasi Sedunia pada 10 Disember setiap tahun bagi memperingati Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang diluluskan pada Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1948. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain