suria

Tiada suspek pemberontak di Thailand miliki dua kerakyatan

BANGKOK: Di sebalik dakwaan berulang kali bahawa pemberontak di Selatan Thai memegang dua kerakyatan, sejumlah 6,230 kes berkaitan keselamatan yang disiasat dalam masa lima tahun lepas menunjukkan tiada sebarang bukti bagi menyokong dakwaan itu, kata seorang penyelidik Thai.

Jiraporn Ngamlertsuporn berkata purata umur suspek yang ditahan oleh pihak berkuasa antara Januari 2004 dan awal tahun ini, adalah antara 19 dan 35 tahun.

Beliau berkata meskipun mungkin terdapat orang yang lebih tua memegang dua kerakyatan iaitu Thai dan Malaysia, namun kes yang disiasat oleh pihak berkuasa tidak menunjukkan sebarang bukti generasi baru penduduk di selatan memiliki dua kerakyatan.

"Polis dan tentera masingmasing berkata tiada kes suspek yang didapati mempunyai dua kerakyatan. Saya rasa mungkin pada masa dulu ramai yang memilikinya dan mereka kini mungkin dalam lingkungan usia 70an sekarang," kata petugas Agensi Risikan Nasional (NIA) itu yang menjalankan penyelidikan mengenai dua kerakyatan bagi Tabung Penyelidikan Thailand.

Beliau memberitahu seminar anjuran Tabung berkenaan di sini pada Khamis bahawa siasatan oleh pihak berkuasa menunjukkan bahawa mereka yang ditahan di daerah Waeng, Sungai Golok dan Takbai di wilayah paling selatan Narathiwat kesemuanya adalah warga Thai dan tidak memiliki dua kerakyatan.

Beliau berkata jumlah golongan yang memiliki dua kerakyatan telah pun berkurangan, manakala ada di antara mereka yang bersembunyi ekoran kebimbangan berhubung masalah keselamatan di wilayah bergolak dan lebih sukar untuk mendapatkan kad pengenalan Malaysia sekarang disebabkan peraturan yang lebih ketat di negara itu.

Selanjutnya, beliau berkata tiada maklumat yang disediakan bagi membuktikan seseorang itu memegang dua kerakyatan, sambil menambah beberapa agensi kerajaan turut berpendapat ia bukan satu masalah, sebaliknya membawa lebih banyak manfaat ekonomi kepada penduduk di rantau ini.

"Penyelidikan kami mendapati bahawa mereka yang mempunyai dua kerakyatan tidak terbabit dalam isu keselamatan, jadi saya ingin meminta kerajaan supaya tidak memberi tumpuan kepada isu ini, sebaliknya menumpukan kepada isu lain bagi menyelesaikan konflik di selatan," katanya.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu akhbar Nation dalam satu temubual minggu lepas bahawa terdapat kemungkinan antara 20,000 dan 25,000 orang yang mempunyai dua kerakyatan dan golongan ini akan diminta supaya membuat pilihan.

"Kami berdepan masalah orang yang menyeberang disebabkan mereka mempunyai dua kerakyatan. Kami ingin menyelesaikan masalah ini. Mungkin antara 20 (000) dan 25,000 yang ada dua kerakyatan, tetapi saya fikir kami perlu meminta mereka supaya membuat pilihan. Mereka perlu memutuskan sama ada untuk menjadi warganegara Malaysia atau Thai," katanya.

Lebih 3,600 orang terbunuh sejak puak pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka pada Januari 2004 untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah yang dihuni majoriti penduduk Islam iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia.

Jiraporn juga berkata terdapat dakwaan sebelum ini bahawa beberapa parti politik yang bertanding di Malaysia pernah memberi kad pengenalan bagi mendapatkan lebih banyak undi, namun perkara itu sukar dilakukan sekarang berikutan pengeluaran kad pengenalan pintar di sana.

Beliau berkata penyelidikan mereka menunjukkan dalam dua tahun lepas, terdapat kirakira 190,000 kad pengenalan pintar yang dikeluarkan di Malaysia dituntut oleh pemohonnya, dan ada di antara golongan ini yang berkemungkinan memegang dua kerakyatan.

Nantiwat Samart, timbalan pengarah NIA, berkata sebahagian besar daripada puak disyaki pemberontak tinggal dalam lingkungan wilayah itu dan bukan di sepanjang sempadan.

"Oleh itu, tiada keperluan bagi mereka untuk mendapatkan dua kerakyatan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain