suria

Kedutaan Malaysia di Perancis sambut Hari Kebangsaan di Lyon

KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Perancis pada Rabu mengadakan majlis sambutan hari kebangsaan di Lyon, tempat konsulat kehormat ditubuhkan tahun lepas.

Duta besar Datuk S.Thanarajasingam berkata perayaan hari kebangsaan, yang jatuh pada 31 Ogos, telah ditangguhkan berikutan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Perancis dari 4 hingga 7 Okt.

"Ia merupakan lawatan bersejarah dan berjaya, membuka lembaran baru dalam hubungan Malaysia-Perancis, sambil memperkukuh hubungan kita dengan UNESCO.

"Lawatan Perdana Menteri telah mempertingkat hubungan Malaysia-Perancis kepada perkongsian strategik, merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara," kata duta itu dalam ucapannya yang dikirim ke Bernama semalam.

Thanarajasingam berkata perdana menteri amat terharu dengan layanan cukup mesra diberikan Presiden Nicolas Sarkozy.

"Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Perancis telah lama mengadakan hubungan peribadi yang penting dalam usaha kita mempertingkat hubungan Malaysia-Perancis," katanya.

Pemimpin-pemimpin Perancis termasuk Sarkozy akan melawat Malaysia tahun depan, katanya.

Thanarajasingam mengambil kesempatan memperkenalkan konsulat kehormat di Lyon itu, Regis Van Liefland.

Selain di Lyon, Malaysia juga menubuhkan konsulat kehormatnya di Marseille tahun lepas. BERNAMA

Artikel Lain