suria

Indonesia percepat salur bantuan mangsa gempa di Padang

JAKARTA: Kerajaan Indonesia sedang berusaha mempercepatkan penghantaran bantuan kepada mangsa gempa bumi di Sumatera Barat dengan menggunakan sembilan buah helikopter dan tujuh kenderaan lain bagi memudahkan penghantaran bantuan ke daerah-daerah kecil, kawasan kampung dan desa yang terjejas teruk.

Badan Nasional Menangani Bencana menghantar 600 tenaga kerja tambahan untuk menghantar bantuan logistik berikutan laporan berita mengenai kelewatan penghantaran bekalan sehingga masih ada penduduk di kampung-kampung yang dikatakan belum mendapat sebarang bantuan.

"Sembilan helikopter dan tujuh kenderaan kecil dihantar ke lokasi bencana untuk mempercepat penghantaran bantuan. Sebab, yang menjadi masalah di sana bukan penghantaran bantuan dari wilayah ke daerah tetapi ke daerah kecil dan desa," kata ketua badan itu, Syamsul Maarif yang dipetik agensi berita Antara di sini semalam.

Syamsul berkata sebelum ini usaha dijalankan bagi memastikan setiap bantuan yang diterima kerajaan terus diagihkan ke daerah-daerah yang terjejas akibat gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter itu, yang kini sudah masuk hari ketujuh.

Katanya kerajaan Indonesia juga akan memendekkan tempoh darurat akibat daripada gempa bumi itu yang setakat ini telah meragut 704 nyawa sehingga petang ini dan ratusan lagi masih dilaporkan hilang.

Syamsul berkata sebelum ini kerajaan Indonesia telah mengisytiharkan tempoh darurat selama dua bulan namun disingkatkan menjadi sebulan kerana aktiviti masyarakat dilaporkan sudah kembali pulih agar usaha pemulihan dan pembangunan semula kawasan dapat dijalankan dengan lebih cepat.

Beliau berharap mulai November, rumahrumah penduduk akan dapat dibina semula agar mangsa tragedi itu dapat meneruskan kehidupan mereka dengan segera dan beberapa model pembangunan semula kawasan yang terjejas juga sedang dipertimbangkan.

Mengenai bilangan mangsa yang masih tertimbus, beliau berkata setakat petang ini, kerajaan sudah mengenal pasti 35 kawasan yang terlibat.

Kerajaan juga sedang menunggu persetujuan sama ada kawasankawasan itu hendak dibersihkan atau membiarkan mangsa-mangsa yang gagal ditemui berkubur di situ, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Ribut taufan kuat landa Jepun

Artikel Lain