suria

A(H1N1): Hanya 6 kematian di Indonesia setakat ini

JAKARTA: Hanya enam kematian akibat influenza A (H1N1) di Indonesia dari sejumlah 1,033 kes positif dicatat setakat ini, demikian menurut seorang jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia hari ini.

Beliau menjelaskan laporan Bernama pada Selasa yang secara salah menterjemahkan bilangan kes positif sebagai jumlah kematian.

Mengenai perkembangan terbaru, kementerian tersebut berkata, 28 orang lagi dijangkiti H1N1 dan seorang daripada mereka mati.

"Dengan itu jumlah keseluruhan kes influenza A (H1N1) ialah 1,033 orang, enam daripada mereka mati, dengan penyakit itu merebak di 24 wilayah," kata Prof Dr Tjandra Yoga Aditama, Ketua Pengarah Kawalan Penyakit dan Kesihatan Alam Sekitar.

Beliau menasihatkan mereka yang mempunyai simptom influenza itu agar mengambil ubat bagi menurunkan suhu badan, memakai topeng pernafasan dan tidak keluar bekerja, ke sekolah atau ke tempat-tempat awam.

Mereka hendaklah berehat lima hari di rumah dan jika keadaan tidak bertambah baik dalam masa dua hari selepas itu, segera mendapatkan rawatan, kata Prof Tjandra. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain