suria

Polis: Suspek rancang serang Presiden Indonesia

BEJI: Suspek pengganas yang dilaporkan mati dalam serbuan polis hampir 18 jam kelmarin, Noordin Mohammad Top telah membuat perancangan untuk melakukan serangan bom kereta berani mati ke atas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri berkata, Noordin dan anggota-anggota militan lain telah merancang untuk mengebom rumah Susilo.

Semalam polis turut menyerbu sebuah rumah di pinggir bandar Jakarta dan membunuh dua suspek militan serta merampas bom dan sebuah kereta yang disyaki untuk membawa bom itu.

Rumah tersebut hanya terletak kira-kira lima kilometer dari kediaman Presiden.

Menurut Bambang, keputusan untuk menyerang Yudhoyono dibuat pada perjumpaan 30 April lalu yang diketuai Noordin berikutan keputusan kerajaan untuk melaksanakan hukuman ke atas tiga pengebom Bali.

Yudhoyono memberitahu wartawan, beliau telah diberikan penerangan mengenai operasi berterusan polis untuk memerangi keganasan, tetapi tidak dimaklumkan mengenai Noordin.

"Saya begitu bersyukur dan menghormati pihak polis yang telah mencapai kejayaan yang hebat dalam operasi ini," katanya.

Bagaimanapun sehingga hari ini polis berkata pihaknya belum dapat mengesahkan mayat yang ditemui dalam serbuan di sebuah rumah di Temanggung, Jawa Tengah semalam sama ada Noordin ataupun sebaliknya sehingga ujian DNA selesai.

Noordin dipercayai adalah perancang utama serangan-serangan ganas di Asia Tenggara, sebahagiannya disokong oleh Al-Qaeda.

Jika benar mayat tersebut adalah Noordin, kematian beliau merupakan kejayaan besar Indonesia dalam memerangi pejuang militan yang sebelum ini telah melakukan lima serangan bom yang mengorbankan 250 nyawa termasuk serangan di Bali pada 2002 dan 2005. AP

Artikel Berikut

Artikel Lain