suria

Polis Indonesia belum dapat sahkan Noordin terbunuh

JAKARTA: Ketua Polis Indonesia Bambang Hendarso Danuri mengaku belum dapat mengesahkan bahawa lelaki yang mati ditembak di Temanggung, Jawa Tengah semalam adalah pengganas rakyat Malaysia Noordin Mat Top, walaupun media tempatan melaporkan bahawa keluarga Noordin akan datang ke Indonesia.

Bambang berkata, polis hanya akan dapat membuat pengesahan indentiti sebenar lelaki yang ditembak mati dalam serangan polis ke atas sebuah rumah di Desa Kedu semalam setelah ujian deoxyribonucleic acid (DNA) dijalankan.

Jenazah lelaki itu kini ditempatkan di Hospital Polis di sini untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di sini ketika dihubungi berkata bahawa mereka belum mendapat sebarang maklumat dari pihak berkuasa Indonesia mengenai isteri dan tiga anak Noordin yang dikatakan akan datang dari Johor.

Lelaki yang disyaki Noordin itu mati ditembak dalam 'Operasi Tiga Serangkai' yang menurut Bambang dijalankan sejak petang Jumaat.

Selain di Temanggung, polis juga menembak mati dua lagi lelaki yang juga dipercayai pengganas dan merampas beratus kilogram bahan letupan di tempat kejadian.

Media Indonesia hari ini memaparkan besarbesaran berita berkenaan di samping heboh memperkatakan bahawa sasaran terbaru kumpulan pengganas di Indonesia kini ialah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Ketua Polis Indonesia itu berkata Susilo dijadikan sasaran untuk dibom di kediaman peribadinya di Cikeas, Bogor pada Hari Kemerdekaan Indonesia 17 Ogos ini.

Bagaimanupun, beberapa pihak termasuk ulama Abu Bakar Ba'asyir meragui laporan yang menganggap serbuan terbaru itu sebagai satu kejayaan polis.

Menurut ulama itu ia sebenarnya bagi menutupi kegagalan polis yang sudah bertahuntahun gagal menangkap Noordin.

Noordin dan seorang lagi rakyat Malaysia Dr Azahari yang sudah ditembak mati beberapa tahun lepas merupakan dua pemimpin kelompok pengganas yang paling dikehendaki di Indonesia kerana dikatakan menjadi dalang dan pakar bom serta berkeupayaan memikat anak-anak muda Indonesia untuk menjadi pengebom berani mati termasuk pengeboman di Hotel J.W.Marriott dan Ritz Carlton di sini pada 17 Julai lepas. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain