suria

Tiada rakyat Malaysia terbabit dalam nahas pesawat di Koh Samui

BANGKOK: Tiada rakyat Malaysia di dalam penerbangan Bangkok Airways yang tergelincir di landasan ketika mendarat di lapangan terbang Pulau Koh Samui.

Seorang pegawai penerbangan mengesahkan penumpang yang terbabit kebanyakannya dari Eropah termasuk dari Itali, Perancis, Israel, Jerman, Britain, Sepanyol dan Swizerland.

Presiden Bangkok Airways, Kapten Puttipong PrasarttongOsoth memberitahu persidangan berita bahawa juruterbang penerbangan PG266, Chartchai Pansuwan telah terbunuh manakala sembilan penumpang cedera termasuk tujuh cedera parah.

Terdahulu, ketua pejabat kesihatan di wilayah Surat Thani Dr Natthawut Prasersiripong, memberitahu media Thai bahawa 41 penumpang cedera, termasuk lapan rakyat asing dan kesemuanya dirawat di lima hospital di wilayah itu.

Pesawat dari Krabi itu yang membawa 68 penumpang dan empat krew, tergelincir ketika mendarat dalam keadaan hujan lebat dan merempuh bangunan lama menara kawalan.

Puttipong berkata, Chartchai seorang juru terbang berpengalaman, dan bekerja dengan syarikat penerbangan itu sejak 19 tahun lepas dan sudah biasa dengan injin dua kipas pesawat ATR 72500 itu.

Katanya, lapangan itu yang terletak kirakira 700km di selatan Bangkok, dibangunkan dan dikendalikan oleh syarikat penerbangan itu sendiri dan telah ditutup sehingga siasatan lanjut yang dijalankan oleh pihak berkuasa penerbangan Thailand.

Sebelum itu, pegawai syarikat penerbangan berkata nahas itu mungkin disebabkan angin lintang.

Selain Bangkok Airways dan Thai Airways International, syarikat penerbangan lain yang mengadakan perkhidmatan ke pulau ketiga terbesar Thailand itu termasuk syarikat penerbangan Malaysia, Berjaya Air dan Firefly.

Menurut laporan sebelum ini, sebuah pesawat Bangkok Airways de Havilland Canada DHC8103 tergelincir ketika cuba mendarat dalam hujan lebat dan angin kencang di lapangan terbang Koh Samui pada 21 Nov, 1990, mengorbankan 38 penumpang.

Pada September, 2007, lebih daripada 90 penumpang terbunuh apabila sebuah pesawat OneTwoGo tergelincir di landasan di lapangan terbang antarabangsa Phuket berikutan angin lintang. BERNAMA

Artikel Lain