suria

India catat kematian pertama H1N1

NEW DELHI: India mencatat kematian pertama akibat selesema babi apabila seorang pelajar berusia 14 tahun yang disahkan positif Influenza A (H1N1) meninggal dunia di Hospital Jehangir di Pune, Maharasthra semalam.

Kementerian Kesihatan India berkata 17 kes dilaporkan pada Ahad, menjadikan jumlah keseluruhan kes H1N1 di India melepasi angka 500 semalam.

Pelajar terbabit, Riya Shiekh, diberi rawatan pernafasan pada 29 Julai dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Jehangir.

Pune merupakan daerah yang teruk dilanda wabak itu dengan lebih 23 pelajar mempunyai simptom selesema dan memaksa pihak berkuasa menutup sekolah untuk beberapa hari.

Di Maharashtra sahaja, lebih 140 kes dilapor. Semalam, seorang wanita berusia 29 tahun dari India dilapor mati di Singapura selepas dijangkiti wabak itu.

Kementerian Kesihatan mengesahkan 2,443 orang menjalani ujian H1N1 dan daripada jumlah itu, 551 disahkan positif. BERNAMA

Artikel Lain