suria

Kesatuan henti mogok, khidmat keretapi pulih semula di Thailand

BANGKOK: Perkhidmatan keretapi Thailand pulih pada 6 petang ini selepas kesatuan sekerjanya bersetuju menamatkan mogok berikutan jaminan kerajaan bahawa untuk tidak menswastkan State Railway of Thailand (SRT) yang dibebani hutang.

Timbalan Perdana Menteri Sanan Kachornprasart, yang mengetuai rundingan dengan wakil kesatuan, memberitahu media bahawa SRT dan kesatuan akan meneruskan perbincangan berhubung tiga permintaan daripada pekerja.

Katanya kesatuan itu mahu Kabinet membatalkan kebenaran bagi menstruktur semula SRT yang membabitkan pemisahannya menjadi dua buah syarikat, sebuah daripadanya menyediakan perkhidmatan landasan manakala sebuah lagi mengruuskan asetnya.

Kesatuan itu juga meminta SRT supaya mengeluarkan sebidang tanah di Buri Ram yang telah diberikan kepada Speaker Parliamen, Chai Chidchob, selain memaklumkan mengenai semua rancangan menyelamat kerajaan bagi memulihkan agensi yang mempunyai hutang sebanyak 72 bilion baht.

Ribuan penumpang terkandas di seluruh Thailand pada Isnin dan Selasa selepas para pekerja keretapi melancarkan mogok bagi membantah rancangan kerajaan menswastakan SRT.

Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva memberi jaminan bahawa kerajaan tidak bercadang untuk menswastakan sektor keretapi dan hanya cuba menyelamatkan SRT.

SRT mengendalikan kira-kira 145 perkhidmatan di seluruh Thailand, sebahagian besarnya dari stesen Hualampong di ibu negara, membawa kirakira 50,000 penumpang sehari.

Perkhidmatan keretapi yang terjejas termasuk Bangkok-Butterworth dan Bangkok-Sungai Golok. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain