suria

Thailand komited selesai isu Selatan Thai

KOTA BAHARU: Kerajaan Thailand pimpinan Abhisit Vejjajiva komited menyelesaikan isu keganasan di wilayah selatannya menggunakan cara aman berbanding penggunaan senjata.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Thavorn Seniem berkata pemimpin negara itu turut turun padang dan mengadakan perbincangan dengan rakyat terutama di tiga wilayah selatan yang seringkali bergolak Narathiwat, Pattani dan Yala yang majoriti dihuni penganut Islam berketurunan Melayu.

"Kita lebih suka cara yang aman berbanding menggunakan senjata dan kita lihat rakyat di Selatan Thailand juga sudah mula percaya dan yakin kerajaan memberi keadilan kepada mereka.

"Sejak kerajaan baru ini ambil alih pentadbiran negara insiden keganasan yang berlaku juga jauh berkurangan berbanding sebelum ini.

"Untuk lebih jelas lagi, kerajaan kini mewujudkan Mahkamah Syariah bagi menyelesaikan masalah perundangan melibatkan golongan Muslim di wilayah Selatan," katanya.

Beliau yang mengetuai delegasi kirakira 50 Anggota Parlimen dan Senator dari wilayah Selatan Thailand bercakap kepada pemberita menerusi jurubahasa selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR 10 di sini, hari ini.

Selain, itu, beliau berkata pihaknya juga akan membuka semula kertas siasatan kejadian di Tak Bai, dan tragedi berdarah di Masjid Kerisik di Pattani yang menyebabkan kematian ratusan orang Islam.

Kira-kira 85 orang terkorban di pekan Tak Bai pada 25 Oktober 2004 dengan 78 daripadanya mati lemas kerana bersesak-sesak dalam trak tentera manakala selebihnya mati ditembak tentera.

Pada 28 April 2004 pula, beratus-ratus penduduk Islam di Pattani bertindak menawan masjid tersebut dan pihak berkuasa telah membunuh 107 penduduk yang dipercayai anggota puak pemisah dalam serbuan balas.

Penduduk di wilayah-wilayah itu mendakwa mereka dilayan sebagai warga kelas kedua oleh kerajaan yang dikuasai oleh penduduk beragama Buddha.

Sementara itu, Nik Aziz meminta penduduk di wilayah berkenaan, yang bersempadan dengan Kelantan, berbincang dengan kerajaan Thailand sekiranya tidak berpuas hati atau mempunyai masalah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain